arena

Timba ilmu bersama lagenda bola sepak

Oleh Rosman Shamsudin

TANJUNG Malim : Seramai 70 peserta cilik dari sekolah rendah sekitar daerah Muallim dan Hulu Selangor teruja dapat menimba ilmu dan pengalaman daripada lagenda bola sepak negara, Ramli Junit sempena Klinik Bola Sepak (KBS) di Kompleks Sukan Proton, semalam.

Klinik anjuran Unit Kokurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Proton City (SKPC) bersama Kelab Bola Sepak SKPC itu bertujuan mencungkil bakat baharu dan pendedahan teknik serta kemahiran terkini seiring dengan perkembangan sukan bola sepak.

Penyelaras KBS, Mohd Rozaidi Ramli, 40, berkata peserta klinik itu bertuah dapat menerima bimbingan dan tunjuk ajar daripada Ramli yang sanggup meluangkan masa bersama pemain muda yang bakal mewarnai pesada dunia bola sepak masa depan negara.

Katanya, terdahulu peserta didedahkan dengan undang-undang bola sepak terkini sebagai asas pengetahuan sebelum bergelar pemain bola sepak.

Mohd Rozaidi berkata, peserta juga menjalani latihan taktikal dan formasi serangan serta pertahanan supaya dapat mempamerkan permainan yang lebih mantap dan menarik.

“Paling penting peserta dapat berkongsi pengalaman bersama lagenda bola sepak negara kerana bukannya mudah untuk menjadi pemain bola sepak sehingga dianggap lagenda negara.

“Ramli juga menekankan betapa pentingnya daya ketahanan mental dan fizikal yang perlu ada dalam setiap pemain bola sepak kerana tanpa dua faktor ini sudah tentu pemain itu tidak dapat melangkah jauh,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Proton, dekat sini, semalam.

Peserta teramai adalah dari SKPC membabitkan 40 barisan pemain muda yang dikenal pasti mempunyai bakat dan potensi sebagai aset masa depan sukan bola sepak negeri mahu pun negara.

Klinik itu turut mendapat kerjasama Persatuan Ibu dan Guru (PIBG) SKPC dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang/Muallim.

Disiarkan pada: November 10, 2018 @ 6:10pm
d