arena

Tak akan tunduk desakan 'perampas kuasa' [METROTV]

Oleh Firdaus Hashim

 

SHAH ALAM: Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan tidak akan tunduk terhadap desakan segelintir pihak yang cuba 'merampas kuasa' dengan menggunakan statut FAS demi kepentingan peribadi.

Menurut Tengku Amir yang juga Raja Muda Selangor (RMS), beliau sememangnya kecewa dengan tindak tanduk beberapa bekas Exco FAS, diketuai Omar Ali dan Datuk Ariffin Ab Hamid yang dilihat cuba memecah-belahkan keharmonian apabila tetap mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM) pada Khamis lalu meskipun tidak mendapat perkenan daripadanya.

Menurutnya, beliau cuba untuk menyelami permasalahan dan rasa tidak puas hati kedua-dua individu terbabit dengan mengaturkan pertemuan namun mereka enggan bertemu.

"Saya sudah dua kali memanggil mereka mengadap untuk tahu apa masalah dan apa yang mereka mahukan. Tapi mereka tak datang. Mula-mula mereka kata ada masalah keluarga sebab itu tidak dapat datang,”  kata Tengku Amir ketika ditemui pada sidang media khas yang berlangsung di Istana Mestika, di sini, hari ini. 

"Jadi saya aturkan pertemuan kedua, sama juga tidak datang. Saya tidak akan melayan mereka lagi."

EGM Khamis lalu menyaksikan 52 ahli gabungan FAS melantik semula Tengku Amir selaku presiden dan selebihnya dibarisi muka baharu termasuk bekas Naib Presiden Persatuan BolaSepak Kelantan (KAFA), Datuk Muhammad Nasir Hamzah dipilih sebagai Timbalan Presiden FAS.

Bagaimanapun, sehari selepas itu, FAS menerusi kenyataan media menganggap kongres berkenaan hanya 'perjumpaan' biasa selain tidak mengiktirafnya kerana membelakangi Tengku Amir selaku pemegang jawatan nombor satu persatuan.

"Semangat saya tetap bersama FAS untuk membuat perubahan. Namun saya agak kecewa dengan situasi sekarang apabila kita banyak membazir masa dengan isu-isu yang ditimbulkan oleh mereka ini.

"Sepatutnya kita sudah boleh fokus membina pasukan lebih mantap menjelang saingan musim depan tapi kita terpaksa mengalih tumpuan dengan masalah ini.

"Malah, apabila isu ini timbul, kita juga berdepan masalah kerana ada penaja yang takut-takut nak masuk, bimbang akan menjejaskan imej mereka. Tapi kita tetap berusaha untuk memastikan Selangor akan tampil lebih baik," katanya.

Ditanya tindakan bakal diambil ke atas 52 kelab gabungan itu, Tengku Amir berkata akan mengambil tindakan tegas termasuk kemungkinan menggugurkan keahlian mereka berdasarkan statut FAS.

"Kita akan semak dengan teliti statut FAS dan mencari jalan terbaik bagi mengatasi masalah ini," katanya.

 

Disiarkan pada: November 10, 2018 @ 7:12pm
d