arena

Cadang sekolah bola sepak peringkat sekolah rendah

Oleh Rosman Shamsudin

LAGENDA bola sepak negara, Ramli Junit, 63, mencadangkan kerajaan mewujudkan sekurang-kurangnya sekolah sukan bola sepak peringkat sekolah rendah di setiap negeri.

Pemain kebangsaan pada 1978 hingga 1982 itu yang lebih dikenali dengan nama panggilan Acik berkata, pembangunan bola sepak negara perlu bermula di sekolah rendah kerana pada peringkat ini pemain lebih senang dibentuk.

Katanya, pada peringkat itu pemain lebih mudah dikawal disiplin dan diberi latihan secukupnya sama ada mental serta fizikal untuk menguatkan daya ketahanan diri selain penjagaan pemakanan.

“Bermula dari situ, kita boleh mengasah bakat dan potensi pemain dengan menerapkan kemahiran serta teknik permainan dengan lebih efektif .

“Untuk melahirkan pemain yang bertaraf antarabangsa bukan hanya dengan latihan melalui klinik bola sepak sebulan sekali atau setahun dua atau tiga kali.

“Sukan ini memerlukan latihan setiap hari dan bila sekolah sukan bola sepak di peringkat sekolah rendah diwujudkan maka dari situ kita sudah boleh bentuk pasukan pelapis,” katanya ketika ditemui semasa mengendalikan Klinik Bola Sepak di Kompleks Sukan Proton, Tanjung Malim, hari ini.

Klinik itu dianjurkan oleh Unit Kokurikulum dan Kelab Bola Sepak, Sekolah Kebangsaan (SK) Proton City (SKPC) dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKPC serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang/Muallim.

Ramli berkata, untuk menanam minat terhadap bola sepak, peranan guru di sekolah juga dituntut dengan menyedarkan murid bahawa sukan bola sepak juga boleh dijadikan sebagai kerjaya jika dilakukan dengan tekun.

“Peranan ibu bapa juga penting dengan memberi sokongan kepada anak yang mempunyai bakat dalam sukan ini di samping guru di sekolah yang biasanya tidak lokek membimbing dan mengasah bakat murid.

“Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pihak berkaitan perlu duduk semeja berbincang mencari jalan menubuhkan sekolah sukan ini supaya pada suatu hari ini kita boleh lihat anak Malaysia bermain di Piala Dunia atau mewakili kelab bola sepak ternama dunia,” katanya.

INFO

Nama penuh: Ramli Junit

Umur: 63 tahun

Asal: Negeri Sembilan

Nama samaran: Acik

Pencapaian:

Mewakili negara 1978- 1982

Layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Russia (Malaysia tarik diri)

Bersama skuad negara dua kali juara Pesta Bola Merdeka.

Piala Malaysia pernah mewakili Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka

Sebanyak tiga kali julang Piala Malaysia bersama Selangor (1978, 1979, 1980)

Juara Liga Malaysia bersama Melaka (1983)

Disiarkan pada: November 11, 2018 @ 12:09am
d