arena

Pemain Leicester letih terbang 19,000km

Oleh Reuters

LONDON: Pemain sayap Leicester City, Marc Albrighton menyatakan pasukan itu “secara emosinya penat” selepas seminggu yang mana mereka ke Thailand bagi majlis pengebumian mendiang bekas pemilik mereka dan kemudian kembali ke stadium yang mana beliau meninggal dunia untuk berdepan Burnley, awal pagi tadi.

“Setiap orang di sini secara emosinya kepenatan,” kata Albrighton selepas seri 0-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris. “Fikiran dan kaki anda penat, daripada setiap perkara yang berlaku. Ia satu daripada perlawanan paling sukar saya lalui sebagai pemain.”

Pemain Leicester memberi penghormatan terakhir kepada bilionair Thailand, Vichai Srivaddhanaprabha, seorang daripada lima yang terkorban dalam nahas helikopter sebaik selepas perlawanan terakhir kelab itu.

Selepas keputusan seri awal pagi tadi, pemain berjalan di sekeliling stadium bersama anak lelaki Vichai, Aiyawatt, yang juga naib pengerusi, ketika penonton melaungkan nama bapanya dan memegang skarf tanda penghargaan. Setiap  pemain memakai baju khas peringatan.

Pemain tidak menjalani latihan pada pertengahan minggu kerana pergi ke Thailand bagi majlis pengebumian Vichai dan kelihatan penat selepas perjalanan pergi balik sejauh 19,000km.

“Minggu ini amat sukar,” kata Albrighton. “Kami pergi ke Thailand dan memberi penghormatan kepada Vichai dan keluarganya. Ia sesuatu yang kami mahu lakukan.

“Ia saat sukar buat setiap orang tapi setiap orang sudah melakukan tugas mereka. Setiap orang di kelab ini bersatu hati.”

Pengurus Leicester, Claude Puel bangga dengan cara pemainnya menangani situasi mencabar itu.

“Ia minggu sukar untuk berdepan perlawanan ini tanpa sebarang sesi latihan dan perjalanan jauh ke Bangkok. Pemain bagaimanapun tampil dengan keghairahan,” katanya.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada pemain kerana ia sukar. Saya harap kami boleh berterusan begini bagi menghormati pengerusi kami.”

Disiarkan pada: November 11, 2018 @ 3:03pm
d