arena

'Graf terjun semakin baik'

Oleh Ferzalfie Fauzi

KUALA LUMPUR: Semakin memberangsangkan.

Itu kata penerjun muda negara, Kimberly Bong selepas dia menamatkan musim ini dengan meraih satu perak dan satu gangsa di Grand Prix (GP) Terjun Kuala Lumpur, semalam.

Secara keseluruhan, selepas tamatnya saingan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil itu, Kimberly mengakui graf prestasinya sejak awal tahun sehingga hujung musim menunjukkan peningkatan.

Atlet berusia 16 tahun yang sebelum ini beraksi di Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires ini menegaskan, dia semakin mendapat rentak untuk melakukan terjunan terbaik, namun dalam masa sama tidak mahu cepat berpuas hati.

"Saya harap pada masa akan datang saya mampu meningkatkan teknik dan kemahiran," katanya yang menduduki tempat keempat dalam acara 10 meter platform individu dalam temasya berkenaan.

Penerjun kelahiran Sarawak itu juga akur dia perlu melakukan persediaan lebih rapi untuk melalui musim baharu, namun setakat ini dia masih belum boleh mengesahkan kejohanan mana yang bakal disertainya.

"Apa yang saya perlu lakukan adalah berlatih dan bersedia untuk menyertai mana-mana kejohanan tahun depan. Sebenarnya banyak lagi saya perlu perbaiki terutama bagi acara 10m platform dan 3m papan anjal.

"Tumpuan saya adalah terarah kepada kesemuanya, teknik, kemahiran," katanya yang meraih perak dalam acara tiga meter papan anjal individu semalam selepas tumpas kepada Ma Tong dari China.

"Pada awal tahun saya tidak berpuas hati dengan prestasi saya, namun dari hari ke hari ia semakin positif.

“Bukan hendak kata berpuas hati, tetapi sekurang-kurangnya ada peningkatan," katanya yang beraksi dalam acara 1m, 3m papan anjal dan 10m platform individu wanita di Sukan Komanwel Gold Coast, Australia.

Disiarkan pada: November 11, 2018 @ 8:14pm
d