arena

Liverpool kekal rekod tanpa kalah

Oleh Agensi

LONDON: Liverpool mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas mudah mengatasi pasukan tangga tercorot Fulham 2-0 di Anfield, hari ini.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Jurgen Klopp mengumpul 30 mata hasil sembilan kemenangan dan tiga seri selepas 12 perlawanan.

Bagi Fulham pula, keputusan itu menyaksikan mereka terus kekal di kedudukan terbawah liga dan berpotensi untuk tersingkir daripada saingan musim depan apabila hanya mampu mengutip lima mata setakat ini.

Liverpool yang tewas mengejut di tangan kelab Serbia, Red Star Belgrade pada aksi peringkat Kumpulan C Liga Juara-Juara, Rabu lalu terpaksa menunggu hingga minit ke-41 untuk memecah kebuntuan jaringan menerusi penyerang antarabangsa Mesir, Mohamed Salah.

Jaringan itu berpunca daripada satu serangan balas pantas yang dilakukan The Reds sejurus gol Fulham yang dihasilkan Aleksandar Mitrovic dibatalkan oleh pengadil kerana ofsaid.

Lapan minit selepas bersambung babak kedua, Xherdan Shaqiri meletakkan Liverpool mendahului 2-0 apabila pemain kebangsaan Switzerland menyudahkan hantaran Andy Robertson dengan satu sepakan voli yang menerjah gawang.

The Reds turut memperoleh beberapa peluang terhidang terutama pada penghujung babak kedua, namun gagal disempurnakan barisan serangan yang menyaksikan kedudukan 2-0 kekal hingga wisel penamat.

Anak buah Klopp akan berdepan Watford bagi perlawanan seterusnya pada 24 November ini sebelum berkunjung ke Paris Saint-Germain untuk aksi kumpulan Liga Juara-Juara, lima hari kemudian.

Disiarkan pada: November 11, 2018 @ 10:05pm
d