arena

Everton ikat Chelsea

Oleh Reuters

LONDON: Chelsea seri tanpa jaringan bertemu Everton di laman sendiri dan semakin ketinggalan dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris di belakang Liverpool dan Manchester City.

Chelsea memerlukan tiga mata selepas Liverpool menang 2-0 ke atas Fulham sebelum itu, tetapi gagal memanfaatkan kelebihan di Stamford Bridge berdepan Everton. Ia adalah perlawanan kedua dalam saingan liga musim ini di mana Chelsea gagal menjaringkan gol.

Selepas babak pertama yang sukar, Chelsea bangkit di babak kedua tetapi masih gagal membolosi gawang Everton dan bernasib baik dapat mengekal rekod tanpa kalah liga musim ini.

Penjaga gol England, Jordan Pickford terlalu kental buat jentera serangan tuan rumah apabila menyelamatkan rembatan voli Marcos Alonso dan percubaan Alvaro Morata awal di babak kedua.

Chelsea kini di tangga ketiga dengan 28 mata, dua di belakang Liverpool dan satu di belakang juara bertahan Manchester City yang berdepan Manchester United dan berpeluang memintas kembali Liverpool.

 

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 12:57am
d