arena

Jokanovic berang dengan pengadil

Oleh Agensi

LONDON: Pengurus Fulham Slavisa Jokanovic berkata, pengadil Paul Tierney tidak ‘menghormati’ pasukannya selepas enggan membenarkan jaringan tandukan Aleksandar Mitrovic sebaliknya mengesahkan jaringan Mohamed Salah 14 saat kemudian.

Ulang tayang menunjukkan Mitrovic berada pada kedudukan tidak ofsaid selepas pertahanan kiri Liverpool Andrew Robertson berada sebaris dengan penyerang dari Serbia itu.

Keputusan pengadil itu menimbulkan kemarahan Jokanovic yang kelabnya kekal di dasar liga selepas enam kekalahan berturut-turut.

"Selepas melihat ulang tayang menunjukkan Robertson yang gagal bertindak pantas dan pemain saya tidak ofsaid dan menjaringkan gol,” katanya.

"Dalam keadaan penting kami sepatutnya mendahului 1-0 tetapi sebaliknya ketinggalan 1-0.”

"Kami boleh terus bercakap mengenainya tetapi perkara telah terjadi. Tak boleh dipertahankan lagi. Di negara ini anda tak boleh menunjukkan tidak hormat anda kepada pengadil. Ini menjadi masalah kerana sekali gus menunjukkan tidak hormat kepada pasukan, diri saya dan penyokong Fulham,” katanya.

Jaringan Salah hasil serangan balas pantas yang membolehkan penyerang Mesir itu melarikan bola dari sebelah kanan untuk gol pertama tuan rumah.

“Kami agak bernasib baik dan mungkin Robbo tidak 100% ofsaid kerana kasutnya,” kata pengurus Liverpool Jurgen Klopp.

Xherdan Shaqiri mengesahkan tiga mata buat Liverpool sekali gus pencapaian terbaik mereka di awal musim sejak 2002-03 tetapi Klopp menegaskan Liverpool belum lagi mencapai tahap terbaik mereka.

Kemenangan itu bermakna Reds kekal tanpa kalah dalam 12 perlawanan liga, lapan mata lebih baik berbanding pada peringkat sama musim lalu dan kini menjadi pencabar utama kejuaraan liga.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 12:59pm
d