arena

Chong Wei 'lawan' Chong Wei

Oleh Helmi Talkah

KUALA LUMPUR: Hasrat Datuk Lee Chong Wei untuk terus beraksi sehingga Olimpik Tokyo 2020 boleh dianggap sebagai ‘peperangan’ yang dicetuskan ke atas dirinya sendiri.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan yang diberi kepercayaan untuk kekal membimbing Chong Wei mengakui ia akan menjadi perjuangan  cukup mencabar buat bekas pemain nombor satu dunia itu.

Malah, jurulatih dari Indonesia itu turut mengakui berdepan cabaran yang sama.

Bukan soal ranking atau kemahiran yang dibimbangkan namun lebih kepada bagaimana cara bagi mengembalikan Chong Wei berada pada tahap terbaiknya terutama dari aspek fizikal dan kecergasan.

Hendrawan berkata apa yang berlaku sekarang cukup berbeza jika dibandingkan dengan situasi dialami Chong Wei sebaik dia bebas daripada penggantungan selama lapan bulan kerana kesalahan doping pada 2015.

“Bagi saya perjuangan sekarang akan menjadi lebih sukar buat Chong Wei dan saya sendiri. Yang paling ketara adalah usia Chong Wei yang semakin meningkat.

“Saya tidak bimbang mengenai kemahiran atau teknik kerana Chong Wei  pemain utama dunia dan berpengalaman. Perkara itu tidak akan hilang sampai bila-bila.

“Apa yang paling sukar adalah bagaimana mahu mengembalikan Chong Wei pada tahap prestasi terbaiknya. Mahu atau tidak, Chong Wei perlu melalui permulaan yang sukar sebaik kembali ke gelanggang nanti.

“Saya akan bincang dengan Datuk Misbun Sidek (ketua jurulatih perseorangan lelaki) mengenai program latihannya. Usianya semakin meningkat tapi dalam masa sama dia tetap perlu beraksi dalam kejohanan bagi mengutip mata untuk layak ke Olimpik,” kata Hendrawan.

Chong Wei ketika sidang media khasnya, minggu lalu menyuarakan hasrat untuk kekal beraksi sehingga Tokyo 2020 dan mengesahkan dia sudah bebas daripada kanser hidung yang dihidapinya.

Namun, dia masih perlu menjalani pemeriksaan susulan, tiga bulan sekali di Taiwan.

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu kini masih dalam proses pemulihan dan hanya menunggu lampu hijau daripada doktornya untuk kembali ke gelanggang dengan dia menjangkakan Seluruh England 2019 pada Mac depan bakal menjadi kejohanan pertamanya.

“Saya tidak fikir lagi bila dia akan kembali ke gelanggang. Biarlah dia berehat dan melalui proses pemulihan sepenuhnya.

“Apabila dia sudah kembali ke gelanggang nanti, kami akan bincang mengenai program latihan untuknya. Berdasarkan apa yang disuarakannya ketika sidang media tempoh hari, saya lihat semangatnya masih membara dan itu sesuatu yang positif,” kata Hendrawan yang membantu Chong Wei memenangi perak Olimpik Rio de Janeiro 2016.

Chong Wei juga menang perak pada Olimpik Beijing 2008 dan London 2012.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 7:21pm
d