arena

Harap tak tersadai di 'kumpulan maut'

Oleh Jugjet Singh

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad hoki negara, Roelant Oltmans mengumumkan senarai 18 pemain yang akan beraksi di Piala Dunia Bhubaneswar, petang tadi dengan sasaran melepasi saingan kumpulan maut.

Malaysia diundi di dalam Kumpulan D, bersama Belanda, Jerman dan Pakistan - dengan semua pasukan itu pernah bergelar juara dunia.

Kejohanan yang dijadualkan berlangsung mulai 28 November ini bakal menyaksikan Malaysia membuka tirai saingan berdepan Belanda pada 1 Disember.

“Hakikatnya ialah kami berada dalam kumpulan sukar dengan tiga daripada pasukan adalah bekas juara dunia. Jadi, kami akan menempuh satu demi satu perlawanan dan meletakkan sasaran layak ke pusingan kalah mati.

“Kami akan cuba untuk berada dalam senarai tiga terbaik (tiada aksi playoff untuk tempat keempat setiap kumpulan).

“Jika kami berada di tangga ketiga, mungkin Malaysia akan berdepan India atau Belgium dari Kumpulan C untuk mara ke suku akhir.

“Apa saja boleh berlaku di peringkat kalah mati,” kata Oltmans yang baru saja dilantik oleh Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) untuk mengemudi skuad kebangsaan.

Laluan Malaysia dilihat agak cerah jika menumbangkan Pakistan dan menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan D dan akan berdepan pasukan tangga kedua Kumpulan C.

Dan, jika bernasib baik, skuad bimbingan Oltman mungkin berdepan Kanada atau Afrika Selatan dalam aksi penentuan ke suku akhir. Pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke suku akhir.

Oltmans melakukan dua perubahan daripada skuad naib juara Piala Asia 2018 dengan Norsyafiq Sumantri dan Ramadan Rosli menggantikan tempat Amirul Aideed serta Shahril Saabah.

Info: Senarai pemain negara

S. Kumar (penjaga gol), Hairi Rahman (penjaga gol),

Shukri Mutalib (kapten), Razie Rahim, Syed Syafiq Cholan, Faiz Helmi, Azri Hassan, Nabil Fiqri, Marhan Jalil, Fitri Saari, Meor Azuan, Joel Samuel van Huizen, Tengku Ahmad Tajuddin, Firhan Ashaari, Faizal Saari, Nik Aiman Rozemi, Norsyafiq Sumantri dan Ramadan Rosli.

Disiarkan pada: November 12, 2018 @ 7:55pm
d