arena

Solari teraju tetap Real  

Oleh Agensi

MADRID: Real Madrid dijangka akan melantik Santiago Solari sebagai pengurus tetap kelab itu.

Persatuan Bolasepak Sepanyol berkata mereka sudah menerima kontrak Solari daripada kelab La Liga itu, walaupun masih belum ada pengumuman daripada Real.

Solari mengambil alih jawatan itu pada 29 Oktober selaku pemangku selepas pemecatan bekas pengurus Sepayol, Julen Lopetagui.

Pengendali berusia 42 tahun itu sejak itu memimpin Real mencipta empat kemenangan daripada empat perlawanan sekali gus permulaan terbaik mana-mana pengurus dalam sejarah kelab itu.

Real perlu memberikan Solari atau sesiapa saja jawatan tetap berkenaan ketika undang-undang bola sepak Sepanyol menghalang pemangku jurulatih untuk terus kekal lebih daripada dua minggu.

Kemenangan Solari ketika mengendalikan kelab itu ialah berdepan Melilla dalam saingan Copa del Rey, Viktoria Plzen pada Liga Juara-Juara dan Real Valladolid serta Celta Vigo dalam La Liga.

Dalam perlawanan itu, Real menjaringkan 15 gol dan melepaskan dua gol.

Kelab itu berkedudukan kesembilan ketika dia mengambil alih dan kini naik ke tangga keenam, empat mata di belakang pendahulu, Barcelona.

Disiarkan pada: November 13, 2018 @ 7:50am
d