arena

Mat Yo nak gegar Hanoi pula

Oleh Aziman Rosdi

KUALA LUMPUR: Pergerakan penjaring terbanyak skuad negara dalam kempen Piala AFF 2018, Norshahrul Idlan Talaha bakal dirantai pemain Vietnam namun penyerang berpengalaman itu sudah bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan pada aksi di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi Jumaat ini.

Norshahrul terus mencuri tumpuan apabila menjaringkan dua gol pada babak kedua untuk membantu Harimau Malaya bangkit menewaskan Laos 3-1 pada aksi kedua Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Ia gol ketiga pemain berusia 32 tahun itu dalam kempen Piala AFF setakat ini selepas turut menggegar gawang ketika mengalahkan Kemboja 1-0 dalam perlawanan pembukaan.

Menurut Norshahrul atau turut dikenali sebagai Mat Yo, dia bersedia untuk terus memainkan peranan penting sebagai penggempur utama meskipun mengakui tekanan yang dihadapi cukup hebat.

"Sememangnya sebagai penyerang memang ada tekanan daripada penyokong, jurulatih tapi saya mengatasi tekanan itu dengan baik," katanya dalam sidang media selepas perlawanan dengan Laos.

Norshahrul yang dilabel seperti pemain Real Madrid, Luka Modric oleh pengendali Tan Cheng Hoe bagaimanapun tidak mahu mendabik dada dengan prestasinya setakat ini memandangkan halangan mereka selepas ini lebih sukar.

"Kita baru melalui dua perlawanan, masih banyak lagi perlawanan selepas ini. Selepas ini kita akan berjumpa dengan Vietnam, setiap kali dalam AFF, perlawanan dengan Vietnam cukup sengit. Insya-Allah kami akan berikan aksi lebih baik di Hanoi nanti.

"Harap rakan lain juga dapat membantu, tak semestinya saya saja yang menjaringkan gol tapi rakan lain juga boleh menjaringkan gol untuk memastikan kemenangan pasukan," kata pemain utama skuad juara Piala AFF 2010 itu.

Disiarkan pada: November 13, 2018 @ 5:00pm
d