arena

Aksi perpisahan Rooney bersama England

Oleh Reuters

LONDON: Wayne Rooney menyatakan dia bangga untuk melakukan penampilan terakhir bersama England dan gembira buat pengurus Gareth Southgate memutuskan berapa lama dia beraksi menentang Amerika Syarikat, awal pagi Jumaat ini.

Rooney, bekas bintang Manchester United, dalam satu komen video dikeluarkan oleh kelab Major League Soccer, DC United awal pagi tadi, menceritakan keghairahannya meraih penampilan ke-120 bersama England bagi aksi perpisahannya, perlawanan persahabatan menentang AS di Stadium Wembley.

“Beraksi dalam skuad bagi perlawanan ini dan berjumpa beberapa bekas rakan sepasukan, bertemu Gareth dan staf kejurulatihan dan kemudian pastinya beraksi di Wembley buat kali terakhir satu saat hebat,” kata Rooney.

“Untuk bertemu bekas rakan sepasukan, jurulatih dan berada di samping mereka beberapa hari selain bertemu penyokong - ia pasti hebat menyarung jersi England sekali lagi di depan mereka dan mengucapkan terima kasih kepada peminat kerana sokongan mereka selama.”

Penjaring gol terbanyak England sepanjang zaman itu berpindah ke MLS Julai lalu, melonjak DC United dari tangga tercorot ke aksi penentuan playoff bagi kempen sulungnya. United bagaimanapun tewas kepada Columbus pada aksi pertama playoff awal bulan ini.

Persatuan Bolasepak England menganjurkan perlawanan perpisahan buat Rooney dengan hasilnya diberikan kepada badan kebajikan kanak-kanak.

“Jelas ia satu penghormatan besar buat FA menganjurkan perlawanan ini buat saya. Ia satu perlawanan penting. Wang yang dikumpul akan diberikan kepada badan kebajikan kanak-kanak, yang saya fikir amat penting,” jelas Rooney.

Rooney, 33, menjaringkan 53 gol dalam 119 penampilan bersama England sejak melakukan penampilan sulung pada 12 Februari 2003. Dia tidak beraksi buat Three Lions sejak menang 3-0 ke atas Scotland di Wembley pada 11 November 2016.

“Saya perlu akui saya tidak tahu tempoh saya akan bermain, sama ada ia daripada permulaan atau beberapa minit terakhir,” kata Rooney.

“Saya akan bercakap dengan Gareth sebelum kami bertemu. Apa saja keputusannya, saya tetap gembira untuk beraksi.”

Disiarkan pada: November 13, 2018 @ 5:28pm
d