arena

4 calon ganti Birmingham

Oleh Azlan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR: Empat jurulatih dari Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) disenarai pendek Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) bagi menggantikan Paul Birmingham yang meletak jawatan pada Jun lalu.

Jelas Setiausaha Agung ASUM, Mae Chen, keputusan kini terletak di tangan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memuktamadkan keputusan secepat mungkin.

"Kami akan suarakan perkara ini dalam bengkel bersama MSN yang berlangsung selama dua hari. Empat nama sudah disenarai pendek bagi membimbing skuad negara. 

"Kami berharap ia dapat diputuskan secepat mungkin dan dapat membawanya ke Malaysia pada Januari nanti.

“Kita tidak mahu terlalu berlengah kerana Malaysia mempunyai perenang yang berbakat seperti Welson Sim yang memerlukan khidmat jurulatih," katanya.

Menurut Mae Chen, antara kriteria yang ditetapkan adalah mampu menyediakan perancangan menyeluruh agar dapat berkongsi bersama jurulatih di peringkat negeri dalam menghasilkan bakat baharu untuk diketengahkan.

"Mereka menepati apa yang kami mahukan termasuk melatih atlet dari peringkat kebangsaan ke pentas antarabangsa, selain di pentas Olimpik," tambahnya.

Selepas 10 tahun bersama skuad renang negara, Birmingham menghantar surat peletakan jawatannya Jun lalu dengan tugas terakhirnya pada Sukan Asia 2018. 

Legenda negara, Nurul Huda Abdullah pula pernah memberi pandangan bahawa Malaysia masih lagi memerlukan kepakaran asing yang bukan saja memberi manfaat kepada perenang, malah jurulatih tempatan di peringkat negeri.

Disiarkan pada: November 13, 2018 @ 6:31pm
d