arena

Batal peraturan 18, manfaat untuk semua

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengharapkan pasukan Liga Malaysia (Liga M) lebih bijak dalam mengatur perancangan untuk menandatangani pemain import bagi musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam menjelaskan, keputusan mereka membatalkan peraturan 18 seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pasukan bagi mendapatkan pemain import berkualiti, pada harga lebih munasabah.

"MFL berharap pasukan dapat menggunakan peluang ini sebaik-baiknya bagi memastikan tahap kualiti pemain yang didaftarkan mencapai tahap yang diperlukan untuk bersaing bagi musim baharu nanti.

"Pada masa sama, mereka juga tidak terbeban dengan kos yang tinggi dengan pengambilan pemain import untuk memperkuat pasukan,” kata Kevin.

Terdahulu, badan pengendali liga itu memutuskan untuk membatalkan peraturan 18, pendaftaran pemain asing, Artikel 18.2 (f), manual Liga M untuk membantu pasukan mengurangkan beban dengan kos pemain import yang tinggi.

Keputusan lembaga pengarah MFL itu membabitkan kelayakan negara pemain asing yang boleh didaftarkan dalam Liga-M yang sebelum ini dilihat menyukarkan banyak pasukan.

Menerusi pembatalan peraturan itu, pasukan kini boleh mendaftar pemain asing yang berkualiti dari divisyen bawahan supaya tidak terbeban dengan kos mahal.

Dalam perkembangan lain, Kevin mengumumkan tempoh pendaftaran pertama bagi jendela perpindahan pertama akan dibuka selama 12 minggu, bermula 29 November lalu sehingga 20 Februari 2019.

"Bagaimanapun, setiap pasukan wajib mendaftar minimum 20 orang pemain termasuk tiga penjaga gol sebelum 10 Januari 2019.

β€œIa bertujuan supaya setiap pasukan bersedia secukupnya untuk menghadapi perlawanan pertama Liga Super dan Liga Perdana yang akan bermula awal Februari 2019,”

Katanya, setiap pasukan akan membuat pendaftaran bagi pegawai dan pemain dengan menggunakan Sistem MyPAS seperti amalan biasa.

Kevin berharap, dengan tempoh 12 minggu pendaftaran pertama yang diberikan, pasukan akan dapat membuat persediaan rapi bagi memilih pemain yang tepat untuk menghadapi saingan musim baharu.

Disiarkan pada: November 13, 2018 @ 7:57pm
d