arena

Zainal semusim bersama Melaka

Oleh Nazri Abu Bakar

MELAKA: Legenda bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan sah menjadi milik Melaka United selepas menandatangani kontrak setahun bersama Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) di sini, hari ini.

Beliau menandatangani kontrak dengan MUSA diwakili Ketua Menteri yang juga presiden persatuan itu, Adly Zahari. Turut hadir, Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Setiausaha Agung, Farhan Ibrahim.

Adly berkata, kontrak Zainal bersama Melaka bermula hari ini hingga 13 November 2019.

Dengan kontrak itu, katanya, membolehkan Zainal melakukan persediaan awal bagi mengharungi musim 2019.

“Kami mengharapkan sentuhannya mampu membina pasukan ini dengan positif berdasarkan pengalaman luasnya dalam kancah bola sepak tempatan dan antarabangsa sebagai pemain dan jurulatih.

“Malah, dengan semangat Malaysia Baharu saya yakin banyak perkara baharu yang mampu dilakukan Zainal sepanjang membimbing skuad ini,” katanya.

Sementara itu, Zainal berkata, tawaran Melaka amat dihargai, justeru kepercayaan yang diberikan akan dibalas dengan penuh komitmen.

”Saya memilih Melaka kerana kemudahan sukan yang lengkap dengan wajah pasukan baharu yang segar, tambahan sokongan agresif peminat dan pengurusan pasukan.

”Secara kasar, barisan pemain sudah ada. Mereka termasuk beberapa nama besar dari skuad Liga Super yang akan bersama kali ini,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2018 @ 7:59pm
d