arena

Djokovic hampiri separuh akhir

Oleh AFP

LONDON: Novak Djokovic semakin hampir menempah tempat ke separuh akhir Pusingan Akhir Jelajah ATP apabila pemain nombor satu dunia itu mengalahkan Alexander Zverev 6-4, 6-1, sebentar tadi.

Djokovic memburu kejuaraan keenam pada Pusingan Akhir ATP dan yang pertama buatnya pada kejohanan penamat musim itu di Arena O2, di sini sejak 2015.

Dalam 11 penampilannya pada Pusingan Akhir, pemain Serbia itu terjamin ke separuh akhir buat kali kelapan jika John Isner mengalahkan Marin Cilic atau jika Cilic menewaskan Isner dalam tiga set lewat hari ini.

Djokovic, yang mengalahkan Isner pada perlawanan pertama peringkat kumpulan, menikmati kebangkitan pada babak kedua 2018 dan menjulang trofi di tebing Sungai Thames pasti satu cara sempurna menamatkan musimnya.

Djokovic menentang Cilic pada perlawanan terakhir kumpulan Jumaat ini manakala Zverev, yang menundukkan Cilic pada aksi pertama, berdepan Isner.

Pemain berusia 31 tahun itu dihujani dakwaan dia kehilangan minat untuk melakar kejayaan dan melepasi tahap terbaiknya selepas cedera dan isu peribadi menjejaskan kariernya pada 2017.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 10:26am
d