arena

Morata jumpa pakar psikologi

Oleh Agensi

LONDON: Alvaro Morata berkata, dia berjumpa pakar psikologi bagi membantunya menangani ‘tekanan dan emosi’ dialami di Chelsea musim lalu sambil menambah dia pernah memikirkan untuk meninggalkan Stamford Bridge musim panas lalu bagi membolehkan dia menyertai kelab dia boleh bermain ‘tanpa tekanan’.

Chelsea membayar rekod kelab £58 juta (RM316 juta) untuk mendapatkan Morata dari Real Madrid selaku pengganti Diego Costa pada musim panas 2017.

Namun dia tenggelam selepas permulaan baik berikutan kecederaan dan masalah luar padang, rakan baiknya terbunuh dalam kemalangan kereta dan isterinya mengalami kesukaran mengandungkan bayi kembar lelaki yang turut mengganggu keyakinannya.

Morata menegaskan awal bulan ini bahawa dia sudah merasa lebih baik secara mental di dalam dan luar padang musim ini, dan dalam temubual dengan akhbar Sepanyol, ABC dia berkata sering menemui pakar yang membantunya keluar dari masalah pada tahun pertama di England.

“Saya rasa adalah sangat penting untuk memiliki keyakinan,” kata Morata. “Ia akan berlangsung baik untuk anda. Dalam tempoh ini dalam hidup saya, saya menyedari anda perlu sentiasa memberi latihan kepada minda. Ia bukan hanya sekadar persediaan fizikal.

“Untuk mengatasi tekanan, anda juga perlu berusaha, ia perkara paling penting dalam kerjaya kita. Saya tidak pernah memikirkan untuk memberi latihan kepada minda. Apabila pemain pertama kali mendengar pakar psikologi, anda mula tidak peduli, tapi saya menyedari saya perlukan bantuan.

“Pada mulanya ia agak memalukan untuk bercakap dengan pakar dan saya beritahu dia semua masalah saya dan dengan bantuan semua orang, saya berjaya menemui kegembiraan dalam bola sepak.

“Idea untuk menemui pakar psikologi untuk mereka yang ada masalah, sering dikaitkan dengan sesuatu yang negatif. Saya rasa setiap orang melihatnya dengan cara itu sedangkan ia adalah perkara yang amat penting.

“Kini saya lebih gembira berbanding sebelumya di Chelsea dan gembira bersama pasukan kebangsaan walaupun ia bukanlah saat terbaik saya di padang,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 12:27pm
d