arena

Zverev salahkan jadual panjang

Oleh Reuters

LONDON: Alexander Zverev menyifatkan jadual pertandingan yang panjang sebagai tidak masuk akal selepas dia kehabisan tenaga ketika tewas kepada Novak Djokovic pada kejohanan Final ATP, awal pagi tadi.

Pemain muda Jerman berusia 21 tahun itu beraksi dalam perlawanan ke-74nya musim ini dan selepas berjaya memberi tentangan sengit kepada Djokovic sehingga ‘game’ ke-9 dia tewas 6-4, 6-1.

“Isunya ialah musim kami terlalu panjang. Itu masalahnya tetapi saya sudah memperkatakannya sebelum ini,” kata Zverev yang 55 kemenangannya tahun ini lebih berbanding pemain lain.

“Kami bermain 11 bulan setiap tahun. Ini tak masuk akal. Tiada sukan profesional lain seperti ini.”

Walaupun dianggap sebagai juara masa depan Grand Slam, Zverev belum lagi melepasi peringkat suku akhir dalam empat kejohanan utama.

Dia sehingga kini menjuarai tiga Masters 1000 termasuk di atas tanah liat tahun ini di Madrid.

Zverev melantik juara lapan kali Grand lslam, Ivan Lendl sebagai jurulatih untuk meningkatkan prestasinya dan pemain nombor satu dunia, Djokovic yakin usaha Zverev berbaloi.

Djokovic turut menggesa penyokong bersabar dan memberi masa kepada pemain muda lain seperti pemain Croatia, Borna Coric dan pemain Greece, Stefanos Tsitsipas untuk mereka mencipta nama dalam sukan ini.

“Saya fikir pemain generasi baharu ini mempunyai kualiti terbaik. Zverev adalah ketua kepada mereka dan dia telah membuktikannya.”

Sementara itu, Zverev berkata, “Saya ada satu lagi aksi peringkat kumpulan dan kita tunggu keputusannya nanti,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 1:24pm
d