arena

Prestasi terbaik Aidil

Oleh Helmi Talkah

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad remaja, Kwan Yoke Meng memuji prestasi ditunjukkan Aidil Sholeh Ali Sadikin selepas pemain perseorangan lelaki negara itu berjaya mara ke pusingan keempat Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Markham, Kanada, awal pagi tadi.

Aidil yang menjadi satu-satunya pemain profesional terpilih mewakili negara bangkit daripada ketinggalan selepas tewas di set pertama dengan menyingkirkan Hyeon Seung Park dari Korea Selatan, 19-21, 21-17, 21-18 dalam aksi pusingan ketiga.

“Aidil bermain sangat baik. Dia menang ke atas pemain (Seung Park) yang menewaskan pilihan keempat kejohanan sebelum itu. Dia membuktikan dia mampu untuk bersaing dengan pemain utama dunia yang lain.

“Semangat juang tinggi ditunjukkan Aidil juga menjadi salah satu faktor kejayaannya. Saya bangga dengan semangat ditunjukkannya,” kata Yoke Meng ketika dihubungi, hari ini.

Aidil yang bakal menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bermula bulan depan akan menentang pemain Jepun, Riku Hatano bagi perebutan tempat ke suku akhir.

Seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong turut maa ke pusingan keempat selepas menundukkan pilihan ke-13 dari Jerman, Lucas Resch 21-17, 16-21, 21-13.

Dia akan bertemu pemain Indonesia, Ikhsan Leornardo Emanuel Rumbay untuk merebut tempat ke suku akhir.

Sementara itu, pemenang pingat emas Olimpik Belia 2018, Goh Jin Wei turut mengesahkan kemaraan ke pusingan keempat dalam acara perseorangan wanita selepas menewaskan pemain Australia, Zecily Fung 21-5, 21-6.

Jin Wei yang meraih gelaran remaja dunia pada 2015 akan menentang pemain Kanada, Wendy Zhang.

Seorang lagi pemain perseorangan wanita, Eoon Qi Xuan; beregu wanita, Pearly Tan-Toh Ee Wei dan beregu campuran, Chia Wei Jie-Ee Wei turut mara ke pusingan keempat.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 2:19pm
d