arena

Pandelela makin positif

Oleh Aida Adilah Mat

SEPANG: Biarpun terpaksa menarik diri daripada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang Oktober lalu akibat kecederaan, atlet terjun, Pandelela Rinong tetap berpuas hati dengan pencapaiannya sepanjang tahun 2018.

Pingat emas acara 10 meter platform seirama bersama Cheong Jun Hoong pada Siri Terjun Dunia ketiga di Montreal, Kanada tahun ini disifatkan pencapaian paling gemilang buat atlet kelahiran Sarawak itu.

Namun kecederaan pinggang serta bahu yang sering berulang sedikit menyentak pencapaian Pandelela yang baru menamatkan pengajian dan menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan, Universiti Malaya (UM).

Itulah punca yang menjadi penyebab utama dia menarik diri daripada menyertai temasya Sukan Asia di Indonesia.

Bagaimanapun, selepas hampir dua bulan berehat dan menjalani proses pemulihan, pemenang pingat emas acara 10m seirama, Sukan Komanwel Gold Coast itu menegaskan kecederaan yang dialaminya semakin pulih.

"Syukur, kecederaan saya sudah 80 peratus pulih dan saya semakin selesa. Saya sudah menjalani latihan ringan dan mungkin akan menjalani latihan secara intensif bermula Januari ini.

"Dalam sukan terjun, jika boleh saya tidak mahu berehat terlalu lama kerana perlu mengekalkan prestasi. Sebab itulah saya sudah mula menjalani latihan ringan agar 'mood' pertandingan itu tidak hilang.

“Kami akan menempuh jadual kejohanan cukup padat pada musim depan," katanya ketika ditemui pada majlis meraikan kakitangan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) di MAG FIT Stop, hari ini.

Bermula dengan Siri Terjun Dunia di Sagamihara, Jepun pada 1 Mac, Pandelela juga akan menjadikan Kejohanan Terjun Dunia di Korea (Julai 2019) sebagai misi utama meraih podium kerana menawarkan mata kelayakan ke Olimpik Tokyo 2020.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MAS, Ahamad Luqman Mohd Azmi berkata, pihaknya berbesar hati dapat bersama Pandelela dan Nur Dhabitah Sabri memacu kejayaan penerjun negara itu merealisasikan impian mengharumkan nama negara.

Katanya, MAS akan sentiasa memberi sokongan dengan menawarkan penerbangan percuma kesemua destinasi MAS kepada dua penerjun negara itu dalam misi ke Olimpik Tokyo.

Pada majlis itu, seramai 10 kakitangan MAS diraikan selepas memenangi pertandingan mempromosikan gimnasium MAG FIT Stop yang dibuka kepada seluruh kakitangan syarikat penerbangan itu.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 9:23pm
d