arena

'Andai saya diberi lebih masa'

Oleh AFP

LONDON: Slavisa Jokanovic menegaskan dia mampu menyelamatkan nasib Fulham jika diberi lebih masa mengendalikan kelab itu sebelum digantikan Claudio Ranieri.

Jokanovic adalah nadi kejayaan Fulham yang layak ke Liga Perdana musim lalu tetapi pengurus dari Serbia itu dipecat minggu ini selepas The Cottagers terperosok di dasar liga.

Fulham hanya mampu menang satu daripada 12 perlawanan setakat ini walaupun membelanjakan £100 juta (RM535 juta) untuk mendapatkan pemain baharu seperti Jean Michael Seri, Andre Schurrle dan Aleksandar Mitrovic.

Pemilik kelab Shahid Khan menggantikan Jokanovic dengan Ranieri pada Rabu lalu yang membawa Leicester muncul juara liga 2016.

Jokanovic dalam kenyataannya melalui Persatuan Pengurus Liga berkata, dia menghormati keputusan kelab tetapi menegaskan dia sepatutnya diberi lebih masa untuk memulihkan kelab barat London itu.

“Saya mengendalikan Fulham dengan bermaruah dan banyak kenangan manis sepanjang tiga tahun di kelab fantastik itu,” kata Jokanovic yang dilantik menjadi pengurus pada Disember 2015.

“Kami bersama mengharungi liga dengan ceria. Semuanya bermula dengan berjaya mengelak tersingkir dari League One ketika musim pertama saya sebelum mara ke playoff tahun kedua dan layak ke Liga Perdana pada hari indah di Wembley pada Mei lalu.

“Saya tetap yakin saya mampu mengubah nasib pasukan walaupun bermula perlahan sama seperti beberapa tahun sebelum ini. Bagaimanapun saya tetap hormati keputusan kelab,” katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2018 @ 9:55am
d