arena

Batshuayi benam Iceland

Oleh Reuters

 

BRUSSELS: Penyerang, Michy Batshuayi meledak dua gol bagi membantu Belgium melakar kemenangan 2-0 ke atas Iceland, awal pagi tadi sekali gus melonjak ke tangga teratas Kumpulan 2 saingan Liga Negara-Negara Eropah.

Pasukan ranking nombor satu dunia itu terpaksa melupakan khidmat beberapa tonggak utama a susulan masalah kecederaan dengan penyerang, Romelu Lukaku diketepikan sehari sebelum perlawanan.

Situasi itu membuka ruang kepada Batshuayi untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama Belgium.

Penyerang Valencia itu membalas kepercayaan diberikan kepadanya apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-65 dan 81 bagi memastikan kemenangan mutlak buat pasukannya.

“Kami mengikut arahan yang diberikan jurulatih (Roberto Martinez) dan kami berjaya menghasilkan gol pada babak kedua selepas bermain dengan corak permainan menyerang.

“Iceland bertahan dengan baik dan kami perlu lebih bersabar. Sejak awal kami sedar ia tidak akan menjadi perlawanan yang mudah dan ia berlaku,” kata Batshuayi.

Belgium ketika ini mendahului carta Kumpulan 2 dengan mengumpul sembilan mata selepas tiga perlawanan, tiga mata di depan Switzerland yang berada di kedudukan kedua manakala Iceland ketiga tanpa sebarang mata.

Skuad bimbingan Martinez akan berkunjung ke Switzerland untuk aksi terakhir peringkat kumpulan, awal pagi Isnin ini dengan keputusan seri bakal mengesahkan slot mereka ke pusingan akhir, Jun depan.

 

 

Disiarkan pada: November 16, 2018 @ 10:19am
d