arena

Enam wakil negara ke suku akhir

Oleh Helmi Talkah

 

KUALA LUMPUR: Barisan pemain remaja negara mempamerkan prestasi cemerlang apabila semua enam wakil yang beraksi di pusingan keempat mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Markham, Kanada, awal pagi tadi.

Kemaraan pemain remaja negara diketuai pemenang pingat emas Olimpik Belia 2018, Goh Jin Wei yang mara ke kelompok lapan terbaik perseorangan wanita selepas menewaskan pemain tuan rumah, Wendy Zhang 21-11, 21-10.

Jin Wei yang tampil dengan misi merangkul gelaran kedua selepas muncul juara pada edisi 2015 akan membuat perhitungan dengan pemain Korea Selatan, So Yul Lee bagi memburu tempat ke separuh akhir.

Turut mengiringi Jin Wei ke suku akhir seorang lagi pemain perseorangan wanita, Eoon Xi Quan yang menewaskan Putri Kusuma Wardani dari Indonesia 21-19, 21-10 dan akan bertemu pemain Denmark, Line Christophersen.

Sementara itu, dua pemain perseorangan lelaki negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Ng Tze Yong turut berjaya menempah tiket ke suku akhir hasil kemenangan ke atas lawan masing-masing.

Pemain profesional, Aidil mengekalkan momentum kecemerlangannya apabila menundukkan pemain Jepun, Riku Hatano 21-19, 21-13 manakala Tze Yong menewaskan Ikhasan Leornardo Imanuel Rumbay dari Indonesia 21-13, 21-15.

“Sudah pasti saya gembira dengan kejayaan mara ke suku akhir sekali gus mencapai sasaran peribadi saya pada kejohanan ini. Ini kali pertama saya berjaya mara sehingga suku akhir selepas sekadar pusingan ketiga.

“Apa pun, saya tidak boleh terlalu berpuas hati kerana perjalanan saya masih jauh dalam kejohanan ini. Saya mahu melangkah sejauh dan berjanji akan melakukan yang terbaik. Saya perlu kekal fokus untuk perlawanan seterusnya,” kata Aidil yang akan menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bermula bulan depan.

Aidil akan bertemu pemain India, Lakshya Sen manakala Tze Yong menentang Kodai Naraoka dari Jepun.

Beregu wanita, Pearly Tan-Toh Ee Wei dan beregu campuran, Chia Wei Jie-Ee Wei turut mara ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan lawan masing-masing.

 

Disiarkan pada: November 16, 2018 @ 11:14am
d