arena

PTG tunggu PAFA hantar nama

Oleh Muhammad Apendy Issahak

IPOH: Pejabat Tanah dan Galian Perak masih menunggu senarai nama pemain dan pegawai pasukan bola sepak negeri itu yang layak menerima ganjaran satu lot tapak rumah susulan kejayaan menjulang Piala Malaysia musim ini.

Pengarahnya Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, mereka bersedia memberikan ganjaran seperti yang diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 11 November lalu.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun belum boleh memastikan lokasi lot tapak rumah itu kerana perlu mendapatkan keputusan dan persetujuan pengurusan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) terlebih dahulu.

“Lot tapak rumah itu sudah ada namun kami menunggu PAFA memberikan maklumat lanjut termasuk senarai nama pemain dan pegawai yang layak menerimanya.

“Mungkin di Ipoh, namun itu saya tak boleh pastikan kerana tunggu keputusan PAFA,” katanya ketika ditemui, semalam.

Rumaizi berkata, mereka juga belum mendapat maklumat mengenai jumlah berapa ramai pemain dan pegawai yang akan menerima lot tapak rumah itu.

“Saya tak pasti berapa ramai, namun saya jangka lebih 30 orang dan kami sedang menunggu senarai penerima itu,” katanya.

Kerajaan negeri memberikan ganjaran satu lot tapak rumah dan wang RM10,000 kepada setiap pemain serta pegawai skuad The Bos Gaurus yang memenangi Piala Malaysia musim ini.

Pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 27 Oktober lalu, Perak menumpaskan Terengganu FC menerusi penentuan penalti 4-1 sesudah terikat 3-3 selepas masa tambahan.

Disiarkan pada: November 16, 2018 @ 5:20pm
d