arena

Hanis pertimbang tawaran kelab Jerman

Oleh Saiful Affendy Sapran

KUALA LUMPUR: Penyerang utama hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn sedia menimbang untuk kembali beraksi pada pusingan kedua Bundesliga bersama kelab Jerman, SV Zehlendorfer Wespen.

Jelas Hanis, ketika ini dia perlu memikirkan soal pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM) selain mahu mengadakan perbincangan bersama keluarganya terlebih dulu.

“Memang saya minat untuk kembali beraksi bersama Wespen. Tapi saya perlu fikir dulu sama ada mahu menangguhkan lagi pengajian di UPM yang kini sudah masuk semester kelima.

“Tapi jurulatih negara (Dhaarma Raj Abdullah) ada menasihatkan saya untuk menerima tawaran itu kerana bukan mudah untuk mendapat peluang sebegitu.

“Lagipun ia bagus buat saya sebagai persiapan menghadapi Siri Akhir Hoki Dunia di Ireland, Jun depan,” katanya.

Wespen sebelum ini menulis surat kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menyuarakan hasrat untuk melanjutkan kontrak Hanis serta seorang lagi pemain kebangsaan, Wan Norfaiezah Saiuti.

Wespen yang baru naik ke Bundesliga musim ini, ketika ini berada di kedudukan ke-11 daripada 12 pasukan.

Untuk kekal di liga utama itu musim depan, kelab itu perlu sekurang-kurangnya berada dalam kedudukan 10 terbaik. Pusingan kedua Bundesliga akan bersambung Mac depan.

Disiarkan pada: November 16, 2018 @ 8:33pm
d