arena

Anak buah Oltmans gigit jari

Oleh Jugjet Singh

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai peluang seimbang dalam kawasan D namun New Zealand akhirnya menang 2-1 pada perlawanan persahabatan pertama di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Kedua-dua pasukan melakukan persediaan untuk Piala Dunia di Bhubaneswar, India dari 28 November hingga 16 Disember depan.

Malaysia berada dalam Kumpulan D bersama Belanda, Jerman dan Pakistan sementara New Zealand dalam Kumpulan A di samping Perancis, Argentina dan Sepanyol.

Stephen Jenness menjaringkan gol pertama seawal minit kedua sementara Aidan Sarikaya menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-17.

Penyerang utama negara, Faizal Saari merapatkan jurang menerusi pukulan penalti pada minit ke-22.

Malaysia mensia-siakan lima pukulan sudut penalti termasuk yang terakhir ketika ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans menggunakan taktik ‘power play’ selepas mengeluarkan penjaga gol, Hairi Abdul Rahman dua minit sebelum tamat.

“Pukulan sudut penalti kami agak mengecewakan. Jika anda memperoleh lima pukulan sudut penalti dan tidak menjaringkan gol, sukar untuk menang.

“Tapi struktur permainan agak baik dan mereka sedang mempertajamkannya menjelang Piala Dunia,” kata Oltmans.

Semalam Malaysia bersama New Zealand menjalani latihan pukulan sudut penalti.

“Ya, pakar pukulan sudut penalti kami serta New Zealand menjalani latihan bersama.

“Mungkin itu sebabnya penjaga gol New Zealand dapat menafikan segala peluang manakala S Kumar juga tahu apa yang perlu dilakukan untuk menghalang cubaan pemain lawan.”

Malaysia akan turun beraksi dua perlawanan persahabatan dengan New Zealand pada Selasa dan Khamis depan sebelum lawan mereka itu berlepas ke India.

“Adalah sangat menarik dapat beraksi dengan Malaysia dan kami juga memperoleh banyak pengajaran daripada perlawanan ini.

“Kami amat menantikan dua lagi perlawanan dengan Malaysia sebelum ke India,” kata ketua jurulatih New Zealand, Darren Smith.

Disiarkan pada: November 16, 2018 @ 9:02pm
d