arena

Masalah dana kata FELCRA FC

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Kekurangan dana untuk beroperasi menjadi punca naib juara Liga Perdana, FELCRA FC terpaksa melupakan saingan Liga Super musim depan.

Situasi itu diakui Timbalan Presiden FELCRA FC, Datuk Hazian Murad yang menjelaskan jumlah tajaan ditambah geran daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih belum mencukupi untuk menguruskan pasukan.

Jelasnya, tindakan menarik diri sebelum musim baharu bermula juga dirasakan wajar sekali gus mengelak berlakunya masalah di pertengahan liga sekiranya pasukan itu terus berdepan kekangan kewangan.

“Kewangan yang ada tidak cukup untuk kami bergerak kerana bagi menguruskan pasukan Liga Super, kami memerlukan bajet sekurang-kurangnya RM12 juta semusim.

“Kalau diikutkan, dengan bajet RM4 juta pun saya boleh uruskan pasukan tapi jika masuk untuk sekadar menjadi pasukan belasahan, lebih baik tidak turut serta kerana kami membawa nama FELCRA Berhad.

“Jadi, kami membuat keputusan untuk menarik diri supaya tidak mahu masalah berlaku pada masa akan datang yang dikhuatiri akan terpalit imej FELCRA Berhad juga,” katanya pada sidang media di Setapak, dekat sini malam ini.

Skuad bimbingan Tarcisio Pugliese itu mula menyertai saingan Liga Perdana musim ini dan berjaya ‘dinaikkan pangkat’ menyertai Liga Super selepas menamatkan saingan di tangga kedua di belakang FELDA United.

Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan skuad dengan julukan The Rivals itu sudah mengemukakan surat rasmi mengenai penarikan diri mereka kepada badan pengelola liga itu selepas berakhirnya tempoh pengesahan pasukan, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam mengakui keadaan itu menyebabkan ada satu kekosongan dalam slot Liga Super musim depan.

Disiarkan pada: November 16, 2018 @ 10:01pm
d