arena

Denmark buat Wales terkedu

Oleh AFP

CARDIFF: Denmark layak ke peringkat lebih tinggi Liga Negara-Negara Eropah selepas menewaskan Wales 2-1 di Cardiff, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Denmark menduduki tangga teratas Kumpulan B4 sekali gus menempah slot Liga A.

Nicolai Jorgensen menyudahkan dengan sempurna serangan balas pantas meletakkan pelawat di hadapan tiga minit sebelum rehat di Stadium Cardiff City sebelum Martin Braithwaite menjaringkan gol kedua pada minit ke-88.

Wales yang mendapat sokongan padu penyokong tidak berputus asa apabila Gareth Bale menjaringkan gol antarabangsa ke-31nya tetapi tambahan lima minit masa kecederaan tidak mencukupi buah anak buah Ryan Giggs mendapatkan gol penyamaan.

Denmark yang mara ke peringkat 16 terakhir pada Piala Dunia di Russia menempah slot playoff Euro 2020 walaupun jika mereka gagal mara ke pusingan akhir melalui aksi kelayakan.

Wales hampir mendahului pada minit ke-9 apabila Paul Dummett yang melakukan penampilan kompetitif pertama untuk negaranya melorongkan bola kepada Bale tetapi rembatan jarak jauh bintang Real Madrid itu berjaya diselamatkan penjaga gol Denmark Kasper Schmeichel.

Bagaimanapun, Dummett terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan digantikan Chris Gunter yang mencipta 92 kap sama seperti bekas penjaga gol legenda Wales, Neville Southall.

Disiarkan pada: November 17, 2018 @ 8:21am
d