arena

Tak sabaq nanti Azmeer

Oleh Izzali Ismail

ALOR SETAR: Pemain pertahanan Azmeer Yusof menganggap impian penyokong Kedah yang mahukan beliau kembali menyarung jersi skuad Lang Merah untuk saingan Liga Malaysia musim 2019 sebagai satu doa.

Pemain berusia 28 tahun yang pernah menyarung jersi Kedah pada musim 2016 lalu itu membuat pengumuman peribadi meninggalkan Kuala Lumpur melalui laman Instagram miliknya minggu lalu sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai haluan baharu yang memungkinkan dia kembali ke Kedah untuk musim 2019.

Dalam perkembangan sama, Azmeer turut berterimakasih kepada Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) , pengurusan, jurulatih serta rakan sepasukan sepanjang bersama pasukan digelar The City Boys itu.

Menurut Pengerusi Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC) Zulkifli Hashim, sebaik Azmeer menyatakan hasrat meninggalkan Kuala Lumpur, beliau seolah-olah memberi isyarat bakal kembali ke Kedah walaupun tidak dinyatakan secara langsung.

"Kenyataan Azmeer itu dibalas penyokong yang memintanya kembali ke Kedah pada musim hadapan."

"Dari apa diluahkan Azmeer, dia menganggap harapan dan pertanyaan penyokong untuk kembali ke Kedah itu sebagai satu doa dan itulah menguatkan lagi keyakinan kami yang beliau mungkin akan kembali ke Kedah."

"Azmeer menunjukkan kesungguhan tinggi bersama Kedah dan beraksi dengan cemerlang hingga membawa Kedah ke pentas final dan seterusnya menjulang Piala Malaysia pada musim 2016 lalu."

"Ia satu berita kami nantikan dan jika harapan menjadi kenyataan, pastinya Kedah miliki pemain yang mempunyai tahap kesungguhan terbaik bersama pasukan. Ini ciri pemain yang kami mahukan."

Disiarkan pada: November 17, 2018 @ 12:28pm
d