arena

Cheng Hoe pertahan Harimau Malaya

Oleh Daripada Aziman Rosdi di Hanoi

Meskipun situasi agak kritikal buat Malaysia untuk melepasi halangan Kumpulan A Piala AFF namun jurulatih Tan Cheng Hoe mengakui tidak akan mengubah cara permainan anak buahnya apabila berdepan Myanmar pada aksi terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 November ini.

Ramai pihak tidak berpuas hati dengan kekalahan skuad Harimau Malaya kepada Vietnam 0-2 di Hanoi semalam di mana mereka menguasai permainan namun terperangkap dengan serangan pantas pasukan tuan rumah.

Cheng Hoe menerapkan corak hantaran pendek untuk mengekalkan penguasaan bola namun mereka tiada idea untuk memecahkan benteng pasukan kendalian jurulatih Korea Selatan Park Sang-heo yang kini menduduki ranking 102 dunia berbanding Malaysia 169.

Kekalahan pertama selepas menang 1-0 ke atas Kemboja dan 3-1 dengan Laos itu meletakkan Harimau Malaya dalam misi wajib menang ke atas Myanmar yang kini menduduki tangga teratas kumpulan namun berkongsi enam mata bersama Vietnam dan Malaysia.

“Kami bermain bola sepak yang baik dan saya tidak akan mengubah cara permainan kami cuma pemain perlu memperbaiki kelemahan ketika menyerang.

“Saya rasa kalau kita bandingkan dengan dua perlawanan lalu, kali ini kita pamerkan permainan terbaik, kita nampak kombinasi dari hantaran bola kita lebih menguasai permainan tetapi kerana satu dua kesalahan, hilang bola di kawasan kita jadi Vietnam ambil kesempatan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan semalam.

Bertemu Vietnam, Cheng Hoe melakukan empat pertukaran dengan memasukkan Shahrel Fikri Md Fauzi, Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid bagi menguatkan jentera serangan manakala Syamer Kutty Abba bertahan di bahagian tengah.

Bagaimanapun Sumareh yang banyak melakukan gerakan di sebelah kanan digantikan dengan Safawi Rasid pada minit ke-57.

“Sumareh ada mengadu sedikit kesakitan jadi saya tidak mahu ambil risiko jadi saya terpaksa keluarkan dia lebih awal. Perlawanan dengan Myanmar nanti kita memang kena main habis-habisan untuk dapatkan kemenangan,” kata Cheng Hoe.

 

 

 

Disiarkan pada: November 17, 2018 @ 2:46pm
d