arena

Wak Doyok ikon sukan kanu

Oleh Naqib Nor Said

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berdepan cabaran besar untuk menunaikan enam janji dalam manifestonya selepas dipilih sebagai presiden baharu Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), hari ini.

Beliau memenangi kerusi itu selepas menewaskan pencabarnya iaitu Presiden Persatuan Kanu Negeri Terengganu (PKNT), Dzulkifli Abas dengan majoriti 37 undi dalam pemilihan mesyuarat agung luar biasa (EGM) badan induk berkenaan.

Megat Shahriman yang juga presiden Persatuan Kanu Negeri Sembilan berkata, menjadi tanggungjawabnya mengembalikan zaman kegemilangan sukan itu.

"Berbekalkan manifesto dan arah tuju yang lebih bersasar, saya yakin misi mampu ditunaikan secara menyeluruh dalam menaikkan nama sukan kanu di Malaysia.

"Terima kasih kepada seluruh perwakilan yang memberi kepercayaan kepada saya serta saf kepimpinan baharu untuk menerajui MASCA bagi tempoh 2018-2021," Katanya selepas ditemui pada majlis pemilihan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.

Antara enam manifesto yang dibentangkan oleh Megat Shahriman adalah penstrukturan persatuan dan pengukuhan kewangan, pembinaan Marina Kanu di Port Dickson, penyediaan atlet ke Sukan SEA Manila 2019 dan Sukan Olimpik 2020.

Di samping itu, beliau juga bertekad menjadikan Tasik Putrajaya sebagai pusat kecemerlangan kanu kebangsaan, menganjurkan sirkit kebangsaan dan antarabangsa dan yang terakhir misi emas Sukan Asia 2022.

Pada masa sama, Megat Shahriman juga mengumumkan Wak Doyok sebagai ikon sukan kanu kebangsaan seiring dengan penjenamaan bagi mengumpul sebanyak mungkin peminat dan tajaan bagi mengukuhkan nama MASCA itu sendiri.

Beliau menggantikan penyandang, Datuk S Subramaniam yang tidak mempertahankan jawatannya. 

 

 

Disiarkan pada: November 17, 2018 @ 5:14pm
d