arena

Alif tempat ke-446 Ironman Langkawi

Oleh BERNAMA

LANGKAWI: Gembira, terharu dan sebak.

Itulah perasaan yang diluahkan selebriti  Alif Satar setelah berjaya menamatkan cubaan pertamanya dalam Kejohanan Ironman Langkawi 70.3 di sini, hari ini.

Penyanyi dan pelakon berusia 28 tahun, yang popular dengan lagu 'Sesungguhnya Aku' itu, berjaya mencatatkan masa 6 jam 42 minit untuk menamatkan perlumbaan yang keseluruhannya sejauh 112.7km itu, membabitkan berenang sejauh 1.6km, berbasikal 90km dan berlari sejauh 21.1 km.

"Ini benda yang sangat susah. Walaupun hanya separuh triathlon ia tetap sukar dan saya tidak percaya boleh habiskan dengan catatan masa yang agak baik ini,” katanya ketika ditemui selepas menamatkan perlumbaannya.

Beliau, yang turut dikenali ramai sebagai pengacara, menduduki tempat ke-446 keseluruhan dari 946 peserta yang bertanding dalam acara itu.

"Saya tidak menghadapi kesukaran dalam disiplin renang kerana itu kekuatan saya tetapi basikal dan larian sangat mencabar apabila otot saya mulai kejang dan minda saya meminta saya berhenti," katanya.

Alif berkata keluarganya menjadi pendorong utama buat dirinya untuk menghabiskan perlumbaan dan ia bakal menjadi kenangan dan pencapaian peribadi terbaik buat dirinya.

Menurutnya, pengalaman yang dilaluinya dalam perlumbaan ini sesuatu yang berharga untuk terus memperbaiki dirinya.

“Serik? Tidak. InsyaAllah saya akan mencuba untuk melakukan yang lebih baik lagi tahun hadapan,” katanya menjawab pertanyaan jika beliau merasa serik selepas pengalaman yang dilaluinya.

Disiarkan pada: November 17, 2018 @ 6:45pm
d