arena

Tinggal Jin Wei, beregu wanita

Oleh Fabian Peter

KUALA LUMPUR: Harapan Malaysia untuk merangkul gelaran di Kejohanan Remaja Dunia kini bergantung kepada bekas juara, Goh Jin Wei dan gandingan beregu wanita, Pearly Tan-Toh Ee Wei.

Pada aksi hari ini, hanya mereka berjaya melepasi peringkat suku akhir yang berlangsung di Markham, Kanada, manakala empat lagi wakil negara termasuk dua pemain perseorangan lelaki, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Ng Tze Yong tersingkir.

Jin Wei yang juga pemain perseorangan wanita negara melangkah mudah selepas menewaskan pemain Korea Selatan, So Yul Lee 21-11, 21-5.

Juara 2015 itu akan bertemu pilihan utama dari China, Wang Zhiyi di peringkat empat terbaik.

Dalam acara berpasukan campuran pada minggu lalu, Jin Wei tewas kepada pemain China berkenaan tetapi lawan sama berjaya ditewaskan olehnya ketika memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Remaja pada bulan lalu.

Pearly-Ee Wei dalam pada itu menewaskan pasangan Jepun,  Shiena Fukumoto-Natsu Saito 21-12, 21-10.

Gandingan mereka yang diletakkan pilihan ketiga kejohanan akan bertemu pilihan kedua dari Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Ribka Sugiarto  di separuh akhir.

 

Disiarkan pada: November 17, 2018 @ 9:07pm
d