arena

Dybala menyerlah

Oleh AFP

CORDOBA: Penyerang Juventus, Paulo Dybala menyinar ketika Argentina selesa menewaskan Mexico 2-0 dalam saingan persahabatan awal pagi tadi, di Cordoba walaupun tanpa kehadiran Lionel Messi dan Sergio Aguero.

Dalam kemenangan itu, Argentina menunjukkan tanda mereka sudah menemui penyatuan di bawah kendalian pemangku jurulatih, Lionel Scaloni ketika mereka kembali membina pasukan selepas prestasi teruk pada Piala Dunia di Russia.

"Kami berada di laluan yang betul," kata Scaloni ketika pasukannya memastikan kemenangan ketiga daripada lima saingan di bawah kendaliannya dan meletakkan sasaran untuk terus cemerlang di saingan Copa America, di Brazil.

Mexico hampir membuka jaringan apabila tandukan Raul Gimenez terkena palang pada awal permainan.

Namun Argentina berada di depan apabila sepakan percuma Dybala ditanduk masuk ke gawang sendiri oleh pertahanan Mexico, Ramiro Funes Mori sejurus sebelum tamat babak pertama.

Mendapat sokongan padu penyokong tempatan, Dybala memberikan sentuhan kreatifnya sepanjang permainan dan boleh menggandakan jaringan, tetapi cubaannya pada babak kedua sedikit tersasar.

Jaringan kedua Argentina hadir apabila pertahanan Mexico, Isaac Brizuela menyepak ke gawang sendiri selepas tekanan diberikan pemain gantian, Mauro Icardi.

Mexico berpeluang membalas dendam apabila kedua-dua negara akan bertemu sekali lagi di Mendoza, Selasa ini.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 10:17am
d