arena

Ronaldo tetap tonggak utama

Oleh AFP

MILAN: Jurulatih Portugal, Fernando Santos menegaskan Cristiano Ronaldo masih tetap tonggak utama walaupun diketepikan daripada Liga Negara-Negara Eropah, selepas juara Eropah itu muncul pasukan pertama mara ke separuh akhir.

Pemenang lima kali Ballon d’Or itu menghabiskan banyak masa bulan lalu menafikan dakwaan dia terbabit dalam kes rogol dan tidak disenaraikan Santos untuk kejohanan berkenaan.

Bekas model, Kathryn Mayorga mendakwa pemain bintang itu merogolnya pada 2009, sebelum dia menyertai Real Madrid dari Manchester United.

“Tiada soalan perlu ditanya. Ronaldo ialah sebahagian pasukan, hanya baca kenyataan ditulisnya hari ini,” kata Santos, merujuk kepada pesanan dihantar pemain Juventus itu kepada rakan sepasukan menerusi Twitter.

Portugal menempah tiket ke separuh akhir Jun depan, selepas mengikat Itali 0-0 di San Siro, awal pagi tadi.

Skuad itu menduduki tempat teratas Kumpulan A3, ketika saingan berbaki satu perlawanan sambil meranapkan harapan Itali untuk terus mara.

“Kelayakan ini mengesahkan kualiti pasukan bola sepak kami,” kata Santos. “Saya fikir ia akan menjadi perlawanan yang hebat terutama pada babak pertama kerana kami ada banyak peluang.

“Selepas rehat saya menerangkan kepada mereka apa yang berlaku, dan perlawanan menjadi lebih seimbang.”

Portugal akan menanti kehadiran Poland yang sudah tersingkir dalam tempoh tiga hari di Guimaraes, dalam pertembungan yang sudah tidak memberi makna buat kedua-dua pasukan.

Namun Santos menegaskan: “Perlawanan terakhir menentang Poland akan sentiasa menjadi sesuatu yang penting kerana ia akan berlangsung di depan penyokong kami, yang sentiasa bersama kami.

“Kami perlu bermain dan menang.”

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 1:11pm
d