arena

Sulaiman harap khabar gembira

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin berharap pengurusan tertinggi dapat membuat keputusan positif mengenai status penyertaan pasukan itu dalam Liga Perdana musim depan.

Beliau berkata, pihak pengurusan juga perlu membuat keputusan pantas selepas hanya tujuh hari sahaja tempoh diberikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mereka kemukakan rayuan atas kegagalan mengesahkan penyertaan yang berakhir, Khamis lalu.

“Secara peribadi memang saya bimbang apabila kami gagal membuat pengesahan mengikut tempoh yang ditetapkan oleh MFL. Tapi saya tahu kenapa kami lambat dan mempunyai alasan untuk dijelaskan kepada MFL.

“Kami perlu mengikut prosedur yang ada di universiti dan kami bukan tak nak sertai liga. Sudah pasti kami mahu beraksi dengan pencapaian yang kami capai musim lalu.

“Saya fikir pihak pengurusan pun menyokong kami terus beraksi di Liga Perdana, tapi disebabkan perlu mendapatkan kelulusan daripada Lembaga Pengarah, ini menyebabkan kami lambat.

“Kami pun dah minta pengurusan untuk melihat perkara ini secepat mungkin dan semoga kami mendapat keputusan yang positif dalam tempoh tujuh hari yang diberikan MFL,” katanya kepada NSTP, hari ini.

MFL dalam satu kenyataan kelmarin tidak menolak kemungkinan terpaksa menyenaraikan empat pasukan dari Piala FAM sekiranya UKM tidak menyertai Liga Perdana selain MIFA yang bakal dinaikkan ke Liga Super musim depan.

Bagaimanapun, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga masih belum mengesahkan pasukan mana dari Piala FAM yang akan dinaikkan ke Liga Perdana nanti.

Satu kerugian buat UKM jika mereka gagal menyertai Liga Perdana musim depan dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebelum ini juga kagum dengan prestasi UKM FC hingga meminta universiti lain mencontohi pasukan itu.

Selain itu, Sulaiman turut berharap pengurusan tertinggi UKM tidak mengecewakan impian barisan pemain yang mahukan pasukan itu terus bersaing dalam Liga Perdana.

“Memang pemain selalu bertanya perkembangan mengenai perkara ini dan saya selalu beri jawapan yang positif. Bukan mudah untuk bentuk pasukan yang layak dan mampu kekal dalam Liga Perdana,” katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 7:02pm
d