arena

MIFA bincang cadangan MFL

Oleh Zulfaizan Mansor

KUALA LUMPUR: Pengurusan MIFA dalam proses perbincangan mengenai cadangan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menaikkan pasukan itu ke Liga Super bagi saingan musim depan.

Setiausaha Agung MIFA, K Anpananthan menjelaskan perbincangan itu termasuk dalam menyediakan dokumen berkaitan lapan kriteria yang perlu dipenuhi kelab untuk ke Liga Super, seperti yang diminta MFL.

Beliau berkata, pihaknya juga perlu melakukan perbincangan dengan pihak penaja berkaitan pelan perniagaan yang diperlukan dalam mengukuhkan pasukan untuk musim akan datang.

“Ia memang satu berita gembira apabila MIFA dipilih untuk ke Liga Super, tapi kami dalam proses menyediakan pelan terbaik buat kelab.

“Bukan senang untuk bersaing dalam Liga Super kerana ia memerlukan kos lebih tinggi dan perlukan kewangan yang kukuh. Untuk beraksi di Liga Super kami tiada masalah, kami boleh main.

“Pemain dan jurulatih pun teruja. Cuma sekarang kami menunggu untuk berbincang secara lebih lanjut kerana presiden Datuk T Mohan kini berada di luar negara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

MIFA yang menamatkan saingan Liga Perdana musim lalu di kedudukan ketiga dicadang oleh MFL untuk naik ke Liga Super bagi menggantikan FELCRA FC yang menarik diri kerana kekangan kewangan.

Selain itu, Anpananthan turut menjelaskan kelab berkenaan dalam perancangan untuk melakukan perubahan musim depan bagi menarik minat lebih ramai peminat dan bukan hanya tertumpu kepada kaum India sahaja.

“Kami mahu peminat MIFA terdiri daripada semua kaum termasuk India, Melayu, Cina dan sebagainya. Ia selaras dengan apa yang diminta MFL.

“Jadi, kami perlukan strategi atau agenda baharu untuk berbuat demikian dan mungkin kami akan jadikan MIFA sebagai satu kelab komuniti.

“Kita mahu jadi kelab yang stabil dan apa yang penting adalah mendapatkan sokongan daripada ramai peminat. Kami tak mahu setahun masuk Liga Super lepas itu keluar,” katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 7:07pm
d