arena

Mourinho buat silap, kata Saha

Oleh Agensi

LONDON: Bekas penyerang Manchester United, Louis Saha percaya Jose Mourinho melakukan kesilapan ketika mengendalikan kelab berkenaan tetapi percaya pengurus itu mampu mengubahnya.

Pengendali berusia 55 tahun itu mengharungi permulaan yang perit musim ini dengan Red Devils ketinggalan 12 mata daripada pendahulu untuk menghuni tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris.

Di sebalik segala kepayahan yang diharungi, Saha percaya pengurus kelahiran Portugal itu mempunyai ramuan serta pengalaman bagi memperbaiki kedudukan United.

“Beliau sudah pasti adalah individu yang mampu melakukannya,” kata bekas penyerang Perancis itu.

“Beliau mempunyai kualiti, rekod yang baik, tiada apa yang salah mengenainya.

“Kita melakukan kesilapan sebagai manusia dan beliau melakukannya. Beliau lelaki yang dewasa dan akan mengetahui apa yang perlu diperbaiki. Beliau tidak mempunyai ruang yang cukup untuk melakukannya tetapi kelab perlu menilai kembali yang mereka perlu stabil untuk konsisten.

“Semuanya mengenai keputusan. Jika kami menang, kamu mendapat masa, jika tidak....”

Mourinho ketika ini berharap skuad kendaliannya akan terus melakar keputusan positif selepas rehat aksi antarabangsa dengan United dijadual tidak mengharungi perlawanan yang sukar dalam aksi liga dengan lima daripada tujuh perlawanan selepas ini adalah bertemu pasukan lima tercorot.

Begitupun, dua lagi perlawanan adalah bertemu Arsenal dan Liverpool selain perlu mengharungi dua aksi penting Liga Juara-Juara sebelum Krismas menentang Young Boys dan Valencia.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 8:10pm
d