arena

Retak tulang belakang

Oleh Reuters

MACAU: Pelumba Formula 3 Jerman, Sophia Floersch mengalami kecederaan retak tulang belakang selepas terbabit kemalangan ngeri di Grand Prix Macau, kata pasukannya, hari ini.

Pelumba pasukan Van Amersfoort Racing berusia 17 tahun itu pada awalnya dilaporkan melanggar belakang jentera Jehan Daruvala di laluan lurus mengakibatkan jenteranya hilang kawalan dalam kelajuan yang tinggi.

Susulan pelanggaran dengan Daruvala, jentera Floersch kemudian melanggar jentera pelumba Jepun, Sho Tsuboi yang mengakibatkan jenteranya melayang laju ke udara sebelum menghentam ‘bunker’ jurugambar.

Selain Floersch dan Tsuboi yang turut mengalami kecederaan belakang,dua jurugambar dan seorang marshal perlumbaan turut cedera dan dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Marshal  perlumbaan, Chan Cha In mengalami luka di bahagian muka, atas badan selain retak rahang manakala jurugambar yang mengalami kecederaan ialah Minami Hiroyuki (gegaran otak) dan Chan Weng Wang (berkaitan hati).

Sekali pun kemalangan itu tampak cukup ngeri, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Floersch yang juga pelumba wanita masih sedar selepas kemalangan berkenaan.

Floersch kemudian menulis dalam laman Twitter: “Ingin memberitahu semua orang yang saya tidak apa-apa tetapi akan menjalani pembedahan pada pagi esok. Terima kasih kepada @fia and @hwaag_official @MercedesAMGF1 yang menjaga saya. Terima kasih kepada semua orang atas mesej sokongan.”

Selepas lebih sejam ditangguhkan, perlumbaan disambung semula dan dimenangi Daniel Ticktum.

 

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 9:16pm
d