arena

Jin Wei fokus 'tiket' Olimpik

Oleh Helmi Talkah

 

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei enggan lagi menoleh ke belakang selepas kejayaan merangkul gelaran kedua pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Markham, Kanada, awal pagi.

Sebaliknya, pemain berusia 18 tahun itu kini mengalihkan fokusnya terhadap misi bagi memburu slot ke Olimpik Tokyo 2020 dengan pusingan kelayakan akan bermula pada 1 Mei tahun depan.

 

Bintang muda negara itu dinobatkan sebagai juara awal pagi tadi selepas menewaskan pemain Denmark, Line Christophersen 21-13, 21-11 dalam aksi final.

 

Jin Wei mengakui dia puas dapat merampas kembali kejuaraan yang dimenanginya buat kali pertama pada 2015 di Peru dalam tahun terakhirnya di peringkat remaja.

Namun, pada dalam masa sama, dia mengakui saingan di peringkat senior akan menjadi cabaran sebenar buat dirinya.

 

“Ini adalah kejohanan terakhir saya di peringkat remaja dan saya gembira dapat mengakhirinya dengan kejayaan. Namun, semuanya sudah berakhir sebaik saya menaiki podium, dan saya perlu fokus terhadap saingan di peringkat senior.

 

“Tahun ini sudah pastinya tahun yang menakjubkan buat saya. Saya gembira apabila dapat mengakhiri saingan tahun ini dengan mencapai semua sasaran saya.

 

“Saya sudah tidak sabar untuk menanti saingan tahun depan yang mana pusingan kelayakan ke Olimpik Tokyo 2020 akan bermula,” kata Jin Wei yang menghuni ranking ke-28 dunia.

 

Sebelum ini, pemain berasal dari Pulau Pinang itu mencipta sejarah apabila menjadi atlet pertama Malaysia yang memenangi pingat emas pada Olimpik Belia 2018 di Buenos Aires, Argentina, bulan lalu.

 

Ketua jurulatih skuad remaja negara, Kwan Yoke Meng, berkata kemenangan Jin Wei ke atas Line sudah diramal memandangkan pemain wanita nombor satu negara itu berada pada satu tahap yang lebih tinggi berbanding lawannya.

 

“Kelebihan Jin Wei adalah kekuatan dan kepantasannya yang membuatkan ia sukar untuk diatasi Line.

“Jin Wei bermain dengan corak permainan yang bijak dan memberi tekanan kepada lawannya yang membuat banyak kesilapan mudah,” katanya.

 

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 10:41am
d