arena

Bayarlah duit kami boh...

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Selepas lama berdiam diri, akhirnya bekas jurulatih kelab Terengganu City FC (TCFC), Mohd Noor Md Derus dan Roshadi Wahab meluahkan rasa kesal dengan sikap pengurusan TCFC yang terus membisu berhubung isu tunggakan gaji jurulatih serta pemain.

Lebih membingungkan bekas ketua jurulatih skuad The Sharks itu apabila semua surat dan e-mel yang dihantar kepada pengurusan skuad itu langsung tidak mendapat sebarang jawapan bahkan, turut menabur pelbagai janji palsu.

"Selepas membawa pasukan muncul juara Piala FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) musim ini, inikah balasan pengurusan yang ternyata tidak 'berhati perut' membiarkan kami menderita.

"Tiada satu sen pun tunggakan gaji, bonus dan bayaran sewa rumah bermula bulan Julai lalu hingga ke hari ini kami peroleh daripada pengurusan TCFC.

“Lebih mengecewakan, mungkin kami diberi cek 'tendang' kerana hingga kini cek itu belum dapat ditunaikan.

"Jika mereka nak sertai Liga Perdana ke.. itu mereka punya pasal, kami hanya tuntut hak kerana kontrak kami berakhir Disember ini.

“Kami sudah hilang sabar, jangan buat kami sebegini, harap TCFC bantu kami selain minta campur tangan FAM dan kerajaan negeri Terengganu membantu insan teraniaya ini," kata Mohd Noor.

Mohd Noor bersama lima lagi staf kejurulatihan musim ini termasuk bekas pemain kebangsaan, Anuar Jusoh sudah menghantar surat secara rasmi kepada FAM pada Rabu lalu, berhubung tuntutan keseluruhan berjumlah RM289,500.

Sementara itu Roshadi berkata, beliau hairan dengan kedegilan pengurusan TCFC yang belum melunaskan tunggakan gajinya walaupun FAM sudah mengeluarkan arahan.

"Terus terang saya katakan, kami sangat kesal dengan situasi ini. Mereka beria-ria untuk bermain dalam Liga Perdana, tetapi hutang tidak mahu bayar,” katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 11:39am
d