arena

Jerman tekad tamat episod duka

Oleh Agensi

 

LONDON: Jerman mahu menamatkan episod memalukan dengan menewaskan Belanda di Gelsenkirchen awal pagi esok serta menghalang lawan melangkah ke saingan kalah mati Liga Negara Eropah.

Belanda hanya memerlukan satu mata untuk ke separuh akhir selepas menumbangkan Perancis 2-0 pada awal pagi Sabtu lalu sekali gus menyingkirkan Jerman ke Liga B.

Namun Jerman yang tersingkir ke saingan bawahan mampu memusnahkan harapan Belanda untuk menduduki tangga teratas Kumpulan A1 dalam perlawanan terakhir tahun ini, yang secara tidak langsung akan menghadiahkan tiket separuh akhir kepada Perancis.

Selepas tewas 3-0 kepada Belanda bulan lalu -salah satu daripada enam kekalahan dialami Jerman pada 2018 - pengendalinya Joachim Loew memerlukan kemenangan untuk meningkatkan moral ketika beliau kini dalam usaha membina semula pasukan susulan kekecewaan di Piala Dunia.

"Kami mempunyai sebab untuk membuktikan sesuatu dan bakal melakukan semuanya untuk memenangi perlawanan ini," kata Loew.

"Adalah mengecewakan kami tidak lagi mampu untuk mengubah keadaan dalam kumpulan, kami perlu belajar daripadanya dan memanfaatkan sepenuhnya tahun yang mengecewakan ini.

"Kami mahu menamatkannya dengan persembahan yang baik untuk membuktikan kami berada di landasan tepat. Kami pernah menjadi salah sebuah pasukan paling konsisten sejak 10 tahun lalu namun tahun ini amat mengecewakan dan ia perlu berakhir."

Jerman kini membina semula pasukan selepas tersingkir di peringkat kumpulan di Piala Dunia. Sebuah pasukan mengandungi pasukan muda dengan purata umur adalah 24 tahun sudah menewaskan Russia 3-0 di Leipzig pada Khamis lalu.

Jaringan Leroy Sane, Serge Gnabry dan Niklas Suele menewaskan Russia dalam aksi persahabatan namun Loew dijangka menyenaraikan pemain lebih berpengalaman apabila menentang Belanda.

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 12:57pm
d