arena

'Wahai Jin Wei, dengarlah pesan ini...'

Oleh Helmi Talkah

 

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei menyifatkan kejayaan pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei muncul juara remaja dunia, awal pagi tadi hanyalah sebagai satu permulaan buat kerjayanya.

Jaguh perseorangan lelaki negara itu percaya Jin Wei pastinya sedar betapa dia akan berdepan ramai musuh yang bakal menjadi ancaman buat dirinya bagi bergelar juara dunia apabila memasuki saingan peringkat senior.

“Pertama sekali, saya ucap tahniah kepada Jin Wei. Dia menunjukkan prestasi cukup konsisten dengan kejuaraan ini selain memenangi pingat emas Olimpik Belia 2018 sebelum ini (bulan lalu).

“Namun, dia pastinya sedar apabila dia memasuki saingan di peringkat senior, dia akan berdepan ramai musuh. Dia perlu menjadikan pemain utama seperti Tai Tzu Ying (Taiwan), Ratchanok Intanon (Thailand), Akane Yamaguchi (Jepun) dan Nozomi Okuhara (Jepun) sebagai sasaran untuk menewaskan mereka.

“Saya harap dia akan terus bekerja keras selepas ini, kerjasama dengan jurulatih (Datuk Tey Seu Bock) dan kekalkan semangat yang ada. Saya percaya dia mampu berjaya,” kata Chong Wei ketika dihubungi, hari ini.

Selepas menjuarai edisi 2015 di Peru, Jin Wei merekodkan gelaran kedua kejohanan remaja dunia apabila menewaskan Line Christophersen dari Denmark 21-13, 21-11 dalam aksi final di Markham, Kanada.

Kejuaraan itu adalah yang kedua berturut-turut buat pemain dari Pulau Pinang itu selepas memenangi pingat emas Olimpik Belia 2018 di Buenos Aires, Argentina, bulan lalu.

Chong Wei yang masih dalam proses pemulihan selepas disahkan bebas daripada kanser hidung, menyifatkan Jin Wei sebagai bintang masa depan negara dan tidak mustahil dia akan menyumbangkan kejayaan pada Olimpik Paris 2024.

“Sebelum ini pun saya sudah cakap, Jin Wei adalah pemain masa depan negara. Sekiranya dia layak beraksi pada Olimpik Tokyo 2020, ia akan menjadi pendedahan dan pengalaman terbaik buat dirinya.

“Tidak mustahil dia akan meraih kejayaan pada temasya Olimpik seterusnya iaitu pada 2024. Cuma satu saya nasihatkan, janganlah mudah berpuas hati dengan kejayaan yang diraihnya sekarang.

“Sebagai pemain dia perlu tahu apa yang dia mahukan. Semuanya terletak pada dirinya sendiri,” katanya merujuk kepada kegagalan ramai pemain negara menyinar di peringkat senior biarpun meraih gelaran di peringkat remaja.

 

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 1:08pm
d