arena

'Kami stabil'

Oleh Farah Azharie

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM), Datuk Latt Shariman Abdullah menafikan badan pentadbir sukan eletronik negara itu masih belum stabil.

“Secara dalaman, tiada masalah ketidakstabilan, kami bekerja berterusan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan IeSF (Persekutuan eSports Antarabangsa) tanpa sebarang isu,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Sabtu lalu yang menyatakan ESM masih belum stabil.

Beliau juga menyatakan ESM akan mengadakan reformasi dan sama seperti badan sukan lain sepatutnya mengambil kira kebajikan pemain dengan menghantar mereka ke kejohanan tertentu bagi tujuan pendedahan.

Latt juga menekankan tiada agenda politik di ESM dan menjelaskan penyertaannya dalam politik sudah berakhir sejak 2013.

“Saya melihat sebahagian akhbar yang memberi gambaran itu. Ahli jawatankuasa daripada pelbagai fahaman politik dan parti mungkin menuduh perkara itu tapi ia bukanlah isu hingga sekarang.”

ESM ditubuhkan pada 2015 dengan tujuan persediaan dan mengenal pasti atlet ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

“Kami (ESM) mancatat banyak kejayaan tapi ada beberapa isu pada awalnya seperti penganjur yang diiktiraf ESM tapi gagal memberi pengiktirafan kepada pemenang, yang mana kami sungguh kecewa dan sejak itu kami mengetatkan lagi syarat dalam proses memberi pengiktirafan.”

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 7:29pm
d