arena

Sarri yakin kudrat Morata

Oleh Agensi

LONDON: Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri tetap memuji Alvaro Morata walaupun penyerang itu dikritik hebat kerana gagal memberi impak besar kepada pasukan untuk memburu gelaran, musim ini.

Sejak berhijrah ke England dari Juventus pada 2017, prestasi penyerang Sepanyol itu menjadi perhatian kerana tidak konsisten mendapatkan gol.

Setakat kempen musim ini, Sarri bagaimanapun sudah menunjukkan kepercayaan kepada anggota juara Piala Dunia (Perancis), Olivier Giroud dan tampak tidak akan mengubah barisan penyerangnya dalam tempoh terdekat.

Pengendali dari Itali itu berkata: “Morata ialah pemain berkualiti, laju dan sangat berbakat secara teknikal. Dia pemain yang sensitif dan kesukaran yang dihadapi menyebabkan dia menderita.

"Keputusan dan kualiti bola sepak kami adalah positif. Dengan rekod 18 perlawanan tanpa kalah dalam saingan kompetitif menunjukkan kami berada di landasan yang betul.”

Morata memulakan musim ini dengan kekecewaan sama seperti musim lalu, hanya menjaringkan satu gol dalam sembilan penampilan.

Kepercayaan Sarri berbalas sejak kebelakangan ini dengan Morata sudah mencetak lima gol musim ini, dengan pemain berusia 26 tahun itu menemui gawang 16 kali dalam 42 penampilan, pada musim lalu.

Usahanya untuk menjadi penyerang tengah utama Chelsea yang disokong faktor prestasi tidak menentu Giroud selepas Piala Dunia tetap buntu, apabila dia gagal mencipta satu peluang tepat ke gawang.

Pada saingan domestik, penyerang berusia 32 tahun itu (Giroud) juga hanya menjaringkan satu gol musim ini, dan hanya memulakan perlawanan selaku pemain utama sebanyak empat kali dalam saingan liga.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 1:58pm
d