arena

Tiada keistimewaan buat FELCRA FC

Oleh Syafiq Aznan

KUALA LUMPUR: Naib juara Liga Perdana musim ini, FELCRA FC tidak akan mendapat keistimewaan untuk terus beraksi di Liga Super sekiranya mereka mahu beraksi dalam kancah bola sepak tempatan pada masa akan datang.

Ini kerana keputusan mereka menarik diri menyaksikan The Rivals perlu bermula daripada saingan liga bawahan kerana tiada jalan pintas untuk mereka meskipun sudah beroleh tiket ke saingan elit itu pada musim depan.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam menegaskan mereka perlu berdepan dengan tindakan yang akan dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terlebih dahulu sebelum boleh mula membabitkan diri dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

“Hanya FAM yang boleh mengambil tindakan ke atas FELCRA FC membabitkan isu penarikan diri ini. Jika ada tindakan contohnya penggantungan, mereka perlu menamatkan hukuman terlebih dahulu dan selepas itu barulah mereka boleh kembali beraksi.

“Namun, mereka tidak akan terus ke Liga Super. Mereka perlu bermula daripada saingan liga amatur terlebih dahulu di Liga M5 dan kemudiannya berusaha untuk mendapatkan promosi sehinggalah berjaya kembali ke saingan divisyen satu itu,” katanya kepada Sukan NSTP.

Sebagai rekod, skuad bimbingan Tarcisio Pugliese itu mula menyertai saingan Liga Perdana musim ini dan berjaya ‘dinaikkan pangkat’ menyertai Liga Super selepas menamatkan saingan di tangga kedua di belakang juara, FELDA United.

Namun, kekurangan dana untuk beroperasi menjadi punca pasukan itu terpaksa melupakan kancah elit bola sepak tempatan pada musim depan.

Situasi itu diakui Timbalan Presiden FELCRA FC, Datuk Hazian Murad yang menjelaskan jumlah tajaan ditambah geran diterima daripada badan induk itu masih belum mencukupi untuk menguruskan pasukan.

Jelasnya, tindakan menarik diri sebelum musim baharu bermula juga dirasakan wajar sekali gus mengelak berlakunya masalah di pertengahan liga sekiranya pasukan itu terus berdepan kekangan kewangan.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 3:12pm
d