arena

Bayern untung RM3.14 bilion

Oleh Reuters

BERLIN: Perolehan tahunan Bayern Munich bagi musim 2017-18 mencecah 657.4 juta euro (RM3.14 bilion), peningkatan hampir tiga peratus berbanding edisi sebelum ini tetapi keuntungan bersih menurun, umum juara Jerman itu, hari ini.

Bayern menjulang gelaran keenam berturut-turut Bundesliga musim lalu tetapi gagal di pentas Eropah selepas tersingkir pada separuh akhir Liga Juara-Juara, kekalahan kedua kepada penyandang juara, Real Madrid.

Perolehan itu satu peningkatan berbanding 640 juta euro (RM3.06 bilion) musim sebelumnya tetapi pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan menurun kepada 136.5 juta euro (RM653.20 juta), jatuh berbanding 149 juta euro (RM713.01 juta) pada musim 2016-17.

Keuntungan bersih juga menurun kepada 29 juta euro (RM138.77 juta) berbanding 39 juta euro (RM186.63 juta) tahun lalu.

“Bayern Munich boleh berpuas hati dengan keputusan kewangan bagi 2017-18,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Karl-Heinz Rummenigge dalam satu kenyataan.

“Selain kejayaan liga Jerman dan memperoleh perjalanan yang baik di Liga Juara-Juara, keputusan ini juga bukti betapa Bayern turut mengalami tahun yang bagus dari sudut kewangan.”

Kelab gergasi Bavaria itu tidak memperoleh permulaan yang bagus dalam kempen domestik ketika ini apabila menghuni tangga kelima Bundesliga, ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Borussia Dortmund.

Begitupun, mereka sudah melangkah ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara dengan mengungguli Kumpulan E sekalipun berbaki dua perlawanan.

Disiarkan pada: November 20, 2018 @ 9:33pm
d