arena

Sweden ke Liga A

Oleh Reuters

STOCKHOLM: Pemain Sweden Victor Lindelof dan Marcus Berg memastikan kemenangan 2-0 mengatasi Russia awal pagi tadi dan naik taraf daripada Kumpulan 2 Liga B hasil kelebihan rekod berbanding pasukan pelawat.

Kedua-dua pasukan menamatkan saingan dengan tujuh mata tetapi seri tanpa jaringan di Russia dan kemenangan awal pagi tadi di Stockholm melayakkan Sweden ke kelompok teratas kejohanan selaku juara kumpulan.

Turki tersingkir ke Liga C dengan tiga mata selepas kekalahan 1-0 di tangan Sweden Sabtu lalu.

Pemain pertahanan, Lindelof yang dinamakan selaku pemain tahunan terbaik Sweden minggu lalu, menjaringkan gol hasil hantaran Mikael Lustig bagi memberikan kelebihan buat pasukannya pada minit ke-41.

Penyerang Marcus Berg yang teruk dikritik apabila banyak mensia-siakan peluang ketika Sweden tampil pada suku akhir Piala Dunia ketika mereka tewas kepada England melengkapkan kemenangan menerusi gol minit ke-72.

Ketika tuan rumah Piala Dunia, Russia cuba mengejar kedudukan dan membuat beberapa cubaan dari barisan serangan, Sweden kehilangan penyerang, Viktor Claesson kerana kecederaan pergelangan kaki tetapi gandingan Lindelof dan Andreas Granqvist berjaya mengekang asakan lawan.

Penjaga gol Sweden, Robin Olsen tidak banyak bekerja keras ketika Russia jarang mengancam kubunya dan skuad kendalian Janne Andersson menamatkan musim dengan kemenangan penting.

Sweden akan ke Liga A Liga Negara musim depan dan mendapat peluang lebih untuk layak ke Euro 2020 menerusi playoff sekiranya mereka memerlukannya. Russia kekal dalam Liga B.

Sementara itu Portugal yang telah pun layak ke final Liga Negara Negara Eropah bersama England, Belanda dan Switzerland pada Jun 2019 menamatkan kempen peringkat kumpulan dengan cemerlang apabila seri 1-1 dengan Poland di Guimaraes.

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 8:42am
d