arena

Alonso muak dengan peraturan F1

Oleh Agensi

LONDON: Fernando Alonso kini bersedia membuat penampilan terakhirnya dalam aksi Formula Satu apabila beraksi di Grand Prix Abu Dhabi, Ahad ini. 

Alonso bakal meninggalkan sukan itu selepas 17 musim yang penuh suka duka bermula 2001 selepas meninggalkan saingan perlumbaan IndyCar di Amerika Syarikat. 

Pelumba Sepanyol itu kini berusaha menjadi pelumba kedua selepas Graham Hill melengkapkan perlumbaan permotoran dengan merangkul tiga gelaran selepas memenangi Grand Prix Monaco, Le Mans 24 jam dan  Indy 500 - gelaran yang masih belum diraihnya. 

Namun juara dua kali F1 itu tidak kelihatan seperti akan merindui sukan itu apabila mengkritik hala tuju dengan mendakwa bahawa perubahan peraturan menyebabkan pemandu sukar untuk mengembangkan bakat mereka. 

"Dalam erti kata lain ia membantu mereka yang kurang berbakat," kata Alonso. 

"Mereka banyak berlatih menggunakan simulator, tiba di sirkit baru dengan mengetahui di mana ada bonjolan, kawasan berbatu, di mana kawasan yang sukar dan kemudiannya mempraktikkan dalam perlumbaan tapi hanya ada satu cara yang optimum untuk sampai ke akhir garisan. 

"Semuanya tentang bagaimana untuk menyimpan tenaga, tayar, apa yang dikatakan oleh jurutera kepada anda dan anda hanya mengikut arahan.

"Anda mempunyai sedikit ruang untuk mengikut naluri di bahagian tertentu dalam perlumbaan tapi hakikatnya ia tidak akan berhasil jika anda melakukannya sendiri," katanya. 

Alonso turut mengkritik aspek strategi yang mula hilang daripada sukan itu sejak dia membuat penampilan pertama bersama Minardi pada 2001. 

Pengisian bahan bakar tidak lagi digunakan pada musim 2010, sementara peperangan antara pengeluar tayar antara Bridgestone dan Michelin berakhir pada 2006 juga memberi kesan kepada prestasi kereta. 

Pelumba Sepanyol yang kini bersama rakan pasukan di Tokyo menjelang perlumbaan F1 mendakwa kurangnya variasi dalam peraturan menyukarkan pasukan mencari penyelesaian secara kreatif. 

"Peraturan berubah dalam cara yang salah kerana ketika ini pasukan hanya mempunyai ruang kecil untuk memainkan peranan dan menggunakan kretiviti untuk melancarkan strategi mereka," katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2018 @ 9:30am
d